Portal rasmi Kerajaan Negeri berwajah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Portal rasmi Kerajaan Negeri Melaka kini berwajah baharu selepas dinaik taraf kepada versi 6.0 dengan menggunakan kepakaran dalaman Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, portal berkenaan merupakan saluran utama bagi penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada rakyat yang telah melalui beberapa fasa evolusi sejak tahun 2000.

Jelas beliau, antara pembaharuan portal rasmi versi 6.0 yang telah dinaik taraf ialah menekankan ciri-ciri keselamatan portal.

“Orang ramai boleh mendapatkan semua pautan media sosial wakil rakyat Kerajaan di portal ini termasuk memberi cadangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan organisasi.

“Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan akaun rasmi TikTok sebagai satu lagi medium hebahan rasmi utama selain Facebook Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.

Pada masa sama, Ketua Menteri memaklumkan, Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan Inisiatif E-mel dengan domain melaka.my untuk rakyat Melaka.

Katanya, emel tersebut bakal memberi manfaat kepada semua, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS), sekolah menengah dan belia.
“Saya berharap Ketua ICT Negeri segera menyelaras dengan pihak-pihak berkaitan untuk inisiatif E-mel kepada Rakyat, Telegram dan Portal Data Asas untuk Rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

701
Kongsi :
Previous post Komitmen penjawat awam demi kemajuan Melaka
Next post TMM2024: Utamakan kebersihan, keceriaan Melaka
Ubah saiz-+=