Komitmen penjawat awam demi kemajuan Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 12 Januari – Semua lapisan penjawat awam diminta memberikan komitmen dengan sepenuh hati dan bekerja lebih keras untuk Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, selepas diberi amanah dan tanggungjawab menerajui kepimpinan negeri, harapan besar beliau adalah mewajah semula Melaka dengan wajah baharu, menjadi sebuah negeri maju serta berdaya saing dalam segenap aspek.

Berikutan itu Ketua Menteri amat mengharapkan kerjasama padu dan jitu daripada penjawat awam Melaka untuk bersama-sama beliau serta kepimpinan negeri bagi memajukan Melaka mengikut acuan telah ditetapkan.

“Bukanlah untuk saya, bukan juga untuk barisan kepimpinan negeri, tetapi generasi anak-anak, cucu-cicit kita yang bakal mewarisi negeri ini. Saya tidak mahu Melaka ini terus kekal sebagai kota tua dengan peninggalan kesan-kesan sejarah oleh penjajah.

“Menelusuri sejarah kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka dahulu, ia didokong oleh Sultan yang bijak dan barisan pembesar negeri yang berani,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 YAB Ketua Menteri Melaka yang bertemakan ‘Bijak Memimpin, Berani Bertindak’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran,Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin dan barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Turut hadir, Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee; barisan Timbalan Exco; ketua jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta persekutuan.

Selain itu Ketua Menteri, turut menegaskan agar barisan kepimpinan negeri, ketua-ketua jabatan dan penjawat awam supaya lebih bijak mengatur strategi selain berani melaksanakan perubahan demi kemajuan.

Menurut beliau, bagaimanapun cabaran itu hendaklah berlandas dan tidak mengetepikan dasar atua peraturan menjadi panduan bagi memelihara kepentingan Kerajaan Negeri sebagai ‘stakeholder’.

“Ketua-ketua jabatan dan agensi perlu pastikan saya tidak dihidangkan dengan ‘hidangan mentah’ atau ‘separuh masak(half-cook)’. Dalam erti kata lain, cadangan dikemukakan mestilah komprehensif selain signifikan supaya keputusan dapat dibuat dengan tepat dan cepat.

“Sebagai menyimpulkan segalanya, saya bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kepercayaan dan harapan yang tinggi kepada penjawat awam sekalian, untuk menggerakkan segala misi dan visi Kerajaan Negeri secara tuntas,” kata Ketua Menteri.

Cerita didengar ketika rembang,
Kuzahirkan riang di balik tawa;
Patah layar dipukul gelombang,
Kutegakkan tiang, kulayarkan jua.

Dara rupawan cantik berseri,
Bicara dijalin senyumterorak;
Penjawat awam tonggak negeri,
Bitara memimpin berani bertindak.

Pergi kedai membeli cuka,
Singgah mari rumah Cik Nyonya;
Sangat terkenal Negeri Melaka,
Sudah terkenal seluruh dunia.

Pantun Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

751
Kongsi :
Previous post Kampung Digital hak eksklusif Kerajaan Melaka
Next post Portal rasmi Kerajaan Negeri berwajah baharu
Ubah saiz-+=