Toleransi dan persefahaman asas perpaduan

Masa Membaca:3 Minit, 26 Saat
Prof. Datuk Dr. Sidek Baba

SIFAT toleransi atau tolak ansur dan persefahaman antara satu dengan yang lain adalah asas kepada terbinanya perpaduan.

Pola masyarakat majmuk yang terdapat di Melaka dan di Malaysia memerlukan toleransi dan persefahaman kerana kemajmukan masyarakat membawa kepada perbezaan dan persefahaman.

Perbezaan disantuni dan persefahaman diperteguhkan. Agama dan budaya terdapat hal-hal yang sensitif yang perlu disantuni dengan bijaksana. Warga Melaka dan Malaysia perlu ada etika untuk berbeza dan etika untuk bersama.

PROSES ASIMILASI

Suatu ketika dulu Melaka menjadi contoh berlakunya asimilasi kaum menampilkan Baba Peranakan, India Peranakan dan Portugis Peranakan dan pemahaman dan interaksi budaya terjadi.

Mereka boleh berbahasa Melayu cara Peranakan dan melakukan hubungan sosial dan budaya yang ramah. Golongan Baba Peranakan boleh berpantun dan berdondang sayang dan mempunyai tradisi sastera mereka.

Gambar hiasan. Foto kredit www.penerangan.gov.my

Kini pendekatan asimilasi tidak lagi terjadi tetapi peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan bahasa perpaduan masih lagi releven kerana terkait dengan Perlembagaan dan Rukun Negara. Generasi kini mungkin berbeza kerana perubahan suasana sosial dan iklim pendidikan.

Namun begitu keperluan memahami silang budaya masih releven kerana tanpanya interaksi sosial dan budaya sukar berlaku dan faham perkauman mula mengambil tempat.
Faham rasis tidak menyumbang kepada persefahaman dan perpaduan.

Sebagai warga Malaysia Perlembagaan Negara menjadi asas kepada hidup bersama supaya Malaysia menjadi lebih aman dan sejahtera.

Taat kepada negara dan patuh kepada Perlembagaan menjadi prasyarat kepada negara supaya masyarakat majmuk berada dalam toleransi dan persefahaman. Ianya penting bagi kemajuan Malaysia kini dan masa depan.

BUDAYA KESALINGAN

Amat penting budaya kesalingan disemai kerana membiarkan perbezaan subur boleh menyebabkan syak wasangka terjadi dan ianya boleh melahirkan konflik.

Sekolah merupakan tempat yang terbaik supaya persefahaman antara kaum berlaku kerana sekolah mendedahkan pelajar dengan faktor sejarah masa lalu, bahasa yang diperkongsi, dan budaya difahami.

GOLONGAN Baba Peranakan mengadaptasi budaya Melayu malah boleh berpantun dan berdondang sayang. Foto kredit www.jpnin.gov.my

Pada orang Melayu terdapat jiwa gotong royong dan sopan santun sesuai dengan jiwa ketimuran dan nilai Islam yang baik membenihkan sifat muafakat dan kerjasama yang patut berkembang juga dalam budaya kaum lain.

Dunia hari ini dengan faham kebendaan yang semakin subur ia tidak banyak membantu hubungan sesama kaum dan antara kaum tetapi aspek positif dalam budaya orang Cina dan India patut difahami dan nilai positif dalam budaya orang Melayu seperti berbudi bahasa dapat disuburkan supaya ia menjadi landasan membentuk masyarakat berbudaya Malaysia.

Sikap engkau dengan budaya engkau dan aku dengan budaya aku tidak harus menjadi pegangan dalam membina sikap persefahaman dan kebersamaan.

Muafakat dan perkongsian terhadap kelebihan yang ada pada satu-satu kaum harus menjadi indikator sifat bantu membantu supaya jurang perbezaan dapat di rapatkan dan persefahaman menjadi lebih dihayati.

ISU PENGUASAAN EKONOMI

Isu penguasaan ekonomi atau kuasa beli sering menjadi pertikaian kerana ia memberi pengaruh kepada ekuiti atau pegangan ekonomi sesuatu kaum.

Ianya harus diinsafi bahawa pegangan ekuiti bukan jawapan terhadap kerjasama dan muafakat.

Kerjasama dan mufakat hanya boleh lahir sekiranya antara kaum dalam aktiviti ekonomi, perniagaan dan perusahaan dapat bekerjasama dan saling bantu membantu supaya perasaan irihati tidak timbul yang boleh menyebabkan jurang ekonomi semakin mendalam.

Ianya menuntut keinsafan yang tinggi bahawa kelebihan yang ada pada sesuatu kaum harus menjadi asas yang menyumbang kepada kaum lain kerana tahap kemiskinan tidak hanya berlaku di kalangan orang Melayu, Cina dan India tetapi ia menuntut sikap prihatin secara bersama supaya negeri atau negara yang kita bina mengamalkan konsep perkongsian.

Walaupun ianya kelihatan ideal tetapi kalau setiap kaum ada tekad yang tinggi untuk bekerjasama, jurang perbezaan boleh dirapatkan, irihati dapat dikurangkan, provokasi dapat diredakan dan harmoni antara kaum dapat dicetuskan.

TEKAD MEMAHAMI REALITI

Walaupun apa yang diutarakan agak ideal tetapi tekad memahami realiti menjadikan kita sebagai warga yang bercita-cita murni dan mengambil pendekatan menyantuni realiti supaya seorang yang idealis sekali gus realis supaya wujud perimbangan antara keduanya.

Inilah pendekatan yang harus diambil supaya kemakmuran yang dikecapi di nikmati bersama atas asas toleransi yang tinggi memahami visi dan misi kea rah kemajuan dan perpaduan yang membawa harmoni dan baik sangka berlaku.

Views:

4099
Kongsi :
Previous post Gajah betina ‘masuk’ sekolah
Next post Milikan sementara memudahkan pesakit COVID-19 di Melaka
Ubah saiz-+=