Transformasi ekosistem TVET, lahir pekerja teknikal mahir

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

DURIAN TUNGGAL 16 Januari – Kerajaan mentransformasikan pemain industri dalam ekosistem bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi membangunkan pekerja teknikal mahir di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat ini penting bagi memastikan bakat dihasilkan dalam bidang itu memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.

“Dalam konteks ini, transformasi ekosistem TVET peringkat nasional menjadi titik penting dan kritikal dalam memastikan perencanaan berterusan untuk melonjakkan pencapaian TVET negara.

“Sebagai contoh kita boleh lihat bagaimana penubuhan politeknik pertama di Malaysia pada tahun 1969 iaitu Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak.

“Kini selepas 55 tahun berlalu sudah terdapat 36 politeknik di seluruh negara yang berjaya melahirkan 676,272 graduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian TVET Place & Train UTeM@KPT yang dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dewan Canselor UTeM di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Seri Zambry Abdul Kadir; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Turut hadir Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin.

Ujarnya lagi, pada 2023 terdapat sebanyak 1,345 institusi TVET kendalian kerajaan dan swasta.

“Setiap institusi TVET yang ada di Malaysia mempunyai keunikan tersendiri bagi memenuhi keperluan pasaran buruh negara.

“Institusi TVET awam pada masa ini ditadbir urus oleh 12 kementerian termasuk Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3072
Kongsi :
Previous post Lepasan tingkatan tiga boleh ikuti program TVET
Next post MPAG perintis Perolehan Hijau
Ubah saiz-+=