Transformasi ke arah teknologi tidak jejaskan pekerja tempatan – MITI

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

KLEBANG 28 Mei – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memberi galakan penuh kepada semua pemain industri termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melakukan transformasi seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, menerusi transformasi ke arah teknologi dan automasi, ia bukan sahaja dapat membantu meningkatkan produktiviti sesuatu industri itu.

Bahkan, katanya, ia turut membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja khususnya pekerja asing di negara ini.

“Ada syarikat-syarikat yang telah berjaya melakukan transformasi seperti ini dengan mengubah pendekatan daripada berteraskan tenaga kerja terutama pekerja asing kepada automasi dan teknologi.

“Namun, ia tidak bermaksud teknologi ini akan memberi kesan kepada pekerja tempatan kerana apa yang diganti ialah skop kerja yang berulang-ulang yang mana ia biasanya tidak menggunakan khidmat pekerja tempatan, sebaliknya pekerja asing.

“Jadi, kita berharap pekerja tempatan dapat memanfaatkan peluang ini dengan mendapatkan tahap pendidikan dan kemahiran teknologi yang lebih tinggi di masa akan datang kerana mereka boleh merebut peluang untuk mengendalikan sesuatu teknologi itu dan sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Lim berkata, bagi merealisasikan hasrat transformasi berorientasikan teknologi itu, MITI melalui agensinya Malaysia Productivity Corporation (MPC) sedang giat menjalankan jelajah di seluruh negara bagi bertemu sendiri dengan pemain industri, PKS dan komuniti perniagaan.

Menurutnya, menerusi jelajah itu, MPC akan memainkan peranan dalam memaklumkan kepada pemain industri apakah jenis bantuan, inisiatif dan insentif yang disediakan kerajaan dalam membantu sektor berkenaan bersama-sama bergerak ke hadapan.

“Selain itu, kita juga akan memberi penekanan kepada unsur-unsur Environmental Social Governance (ESG) yang perlu diterapkan industri dan komuniti perniagaan yang mana unsur ini sangat penting kepada setiap syarikat.

“Apabila mereka mengeluarkan produk atau memberi perkhidmatan kepada rakyat, mereka juga perlu bersama-sama memberi fokus kepada unsur alam sekitar, mempunyai tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial membantu masyarakat.

“Jadi, melalui program ini kita akan maklumkan kepada industri dan komuniti perniagaan agar mereka boleh memberi penekanan kepada unsur-unsur ini supaya budaya kelestarian dan kemampanan itu dapat dibentuk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

958
Kongsi :
Previous post Zuraida masih menteri kabinet – PM Ismail Sabri
Next post Kanak-kanak perempuan hilang semasa hadir majlis hari raya
Ubah saiz-+=