Trauma diserang anjing liar
DURIAN TUNGGAL 7 Sept. – “Keadaanya kini semakin pulih, bagaimanapun akibat daripada insiden itu dia masih trauma,” itu kata ibu kepada kanak- kanak lelaki Muhammad Irfan Danish Abdullah, 12, yang cedera diserang dua ekor anjing liar dalam kejadian dihadapan rumahnya di Taman Kenari, Durian Tunggal, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa yang juga murid Sekolah Rendah Arab Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Selandar, dikatakan turun dari kereta untuk membuka pagar rumah sebelum tiba- tiba diserang haiwan liar tersebut.
Ibunya Nor Fatiha Mokthar, 30, berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan ketika anaknya cuba melarikan diri seekor lagi anjing tiba- tiba datang menyerang menyebabkan Muhammad Irfan tersembam ke jalan.
Katanya, menyedari kejadian suaminya bergegas keluar dari kereta untuk menghalau anjing itu daripada terus menyerang Muhammad Irfan sebelum disedari jiran yang turut membantu.
“Akibatnya dia mengalami kecederaan luka yang teruk di beberapa bahagian badan termasuk lutut, tangan dan belakang malah dia turut mengadu sakit dada selepas insiden itu.
“Dia kini masih di rawat di hospital dan sejak kejadian itu juga dia kerap terjaga antara jam dua pagi dan mengambil masa sebelum dapat tidur kembali,” katanya.
Menurutnya, anjing liar itu baru kelihatan di kawasan perumahannya bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang tindak balas agresif sehinggalah malam kejadian.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Shadan Othman berkata, operasi memburu anjing liar itu giat dijalankan dan tindakan segera dibuat pihaknya sebaik menerima laporan mengenai kejadian.
“Kami masih mengesan anjing yang dikatakan menyerang kanak-kanak itu dan operasi ‘Op Johnny’ sudah kita jalankan secara berterusan oleh pihak kami.
“Malah dalam masa satu bulan ini lebih 120 ekor anjing liar sudah ditangkap dalam kawasan pentadbiran MPHTJ,” katanya.