Sorting by

×

Tujuh MoU dimeterai antara beberapa institusi terkemuka di Singapura dan Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

SINGAPURA, 5 Sept – Tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai sektor Pendidikan, Seni & Budaya, Perniagaan dan Perkhidmatan Misionaris, dimeterai antara beberapa institusi terkemuka di Singapura dan Malaysia, baru-baru ini.

Jamiyah Singapura bertindak sebagai pemudah cara untuk majlis pemeteraian MoU yang disaksikan secara fizikal oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar manakala rakan sejawatannya dari Malaysia menyertai majlis itu secara maya.

MOU secara maya diadakan yang disertai wakil dari Malaysia.

Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam juga menyertai majlis itu secara maya dari Melaka, selaku Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM).

“Jamiyah Singapura adalah sebuah pertubuhan yang penting untuk masyarakat Melayu Islam di Singapura yang banyak menjalinkan kerjasama dengan institusi di Malaysia terutama di dalam konteks Dunia Melayu Dunia Islam,” kata Azfar kepada Bernama.

Ketua misi yang baharu ini berkata pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan terus memberi kerjasama dengan Jamiyah Singapura di masa akan datang dalam menjayakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan di kedua-dua negara.

“Saya juga berharap Jamiyah Singapura dapat berikan kerjasama dalam saya melaksanakan tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura. Semoga kita semua dapat melaksanakan apa yang diamanahkan kepada kita dengan jayanya,” katanya.

Sementara itu, Presiden Jamiyah Singapura Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar berharap hubungan yang “lebih rapat” dan “lebih baik” akan dapat dijalin antara Singapura dan Malaysia.

Mohd Hasbi juga berharap Jamiyah Singapura dapat berkolaborasi lebih erat dengan pelbagai pertubuhan dan perniagaan di Malaysia dan peringkat tempatan, dalam sektor Pendidikan, Kesenian & Kebudayaan, Perniagaan dan Perkhidmatan Misi.

MoU itu ditandatangani antara Pusat Pendidikan Jamiyah dan KUIM; Sri Warisan Performing Arts Ltd dan Biro Sosio-Budaya DMDI; dan SRIWANA dan Biro Sosio-Budaya DMDI.

Perjanjian lain adalah antara Jamiyah Singapura dan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia; Jamiyah Singapura dan Nasyrul Quran; Airmark Holdings dan MyJet Express; dan Pure Good Hub dan Classic Agro Resources Sdn Bhd.

Jamiyah Singapura, sebuah Pertubuhan Amal Melayu/Muslim bakal menyambut ulang tahun ke-90 penubuhannya, turut menganjurkan satu majlis meraikan Azfar, sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke-17 ke Singapura.

Acara hibrid itu diadakan secara fizikal di Dewan Al-Malik Faisal di Pusat Islam Jamiyah, dan ditayangkan secara langsung menerusi Facebook turut disertai rakan korporat dan komuniti Perniagaan, Sukan, Pendidikan, Keagamaan, Kesenian & Budaya dari Jamiyah Singapura.

Jamiyah Singapura, juga dikenali Muslim Missionary Society Singapore, ditubuhkan pada  1932 oleh Roving Ambassador of Peace dari Meerut, India, Moulana Abdul Aleem Siddique.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

729
Kongsi :
Previous post Fasa 2 PPN: Polis Melaka keluarkan enam kompaun pada hari pertama
Next post Dasar pengambilan pelajar MRSM tanpa mengira aliran sekolah dikekalkan
Ubah saiz-+=