Tujuh operator judi dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH, 6 Dis – Kegiatan sindiket perjudian atas talian yang memilih kawasan kondiminium sebagai pusat operasi terbongkar selepas polis menahan tujuh lelaki dalam serbuan di Jalan Pelanduk Putih, di sini, pada Khamis lepas.

Kesemua mereka ditahan kira- kira jam 4 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, tangkapan keatas suspek berusia antara 18 hingga 23 tahun itu hasil daripada risikan selama seminggu dijalankan pihaknya susulan aduan awam.

Beliau berkata, dua buah premis di kondiminium itu dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian atas talian ‘calling centre’.

“Ketika serbuan dilakukan terdapat tujuh lelaki tempatan dan mereka ini dipercayai bertindak sebagai operator mempromosikan laman web perjudian.

“Malah suspek turut mengendalikan pertaruhan secara atas talian melalui laman sesawang tertentu,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendedahkan kedua-dua lokasi itu beroperasi kira-kira sebulan.

“Malah operator yang mengendalikan aktiviti perjudian ini ditawarkan dengan bayaran gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 sebulan manakala peralatan disediakan oleh pihak sindiket.

“Mereka menyasarkan pelanggan tempatan dimana carian pelanggan melalui Facebook serta Wechat dan modus operandi pula mempromosikan laman web perjudian dan apabila pelanggan bersetuju operator akan menguruskan pertaruhan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, hasil serbuan itu turut dirampas beberapa peralatan pengoperasian aktiviti atas talian antaranya set komputer, komputer riba dan telefon bimbit pelbagai jenama termasuk wang tunai berjumlah RM750.

“Semakan keatas suspek mendapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c), Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

“Polis Melaka memandang serius aktiviti perjudian dan akan mengambil tindakan tegas keatas individu atau kumpulan yang didapati terbabit,” katanya.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Revisiting Melaka as Global History
Next post Ketukan pintu terhenti oleh ayat suci al-Quran
Ubah saiz-+=