Ketukan pintu terhenti oleh ayat suci al-Quran

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

AYER LIMAU 7 Dis. – Ketukan pintu yang kuat dan bertalu-talu di rumah seorang lelaki warga emas bekas Imam di Kampung Paya Rumput, di sini terhenti apabila lelaki itu membaca beberapa surah al-Quran.

Surah al-Quran yang khusus untuk menjauhkan gangguan jin dan syaitan yang dibaca oleh Said Hassan berjaya menghentikan ketukan kuat pada pintu kediamannya.

Beliau terpaksa membaca surah berkenaan selepas mendapati pintu hadapan kediamannya di Kampung Paya Rumput, Masjid Tanah diketuk dari luar dengan kuat seolah-olah ingin menyebabkan pintu kayu itu tertanggal daripada engsel.

Said, 74, berkata dalam kejadian jam 3 pagi semalam itu beliau dan isteri, Maimunah Hashim, 65, serta seorang anak perempuan berusia 24 tahun sedang tidur dan dikejutkan dengan bunyi ketukan kuat pada pintu.

“Saya hairan kerana tidak pernah pintu rumah diketuk pada jam 3 pagi sebelum ini dan kalau benarlah anak lelaki saya balik dari Johor, sudah tentulah dia akan telefon saya terlebih dahulu.

“Saya baca surah yang boleh menghindari gangguan jin dan syaitan semasa berjalan ke muka pintu dan memohon Allah melindungi saya serta keluarga daripada bahaya,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

Pesara kerajaan itu berkata, sejurus membaca surah berkenaan, bunyi ketukan itu tiba-tiba terhenti dan beliau menggagahkan diri untuk membuka suis lampu anjung rumah tetapi tetap dalam keadaan berjaga-jaga dengan tidak berdiri terlalu rapat dengan daun pintu yang ingin dibuka.

Katanya, beliau teringat pesanan orang tua-tua supaya tidak berdiri terlalu hampir dengan muka pintu jika membukanya pada waktu malam atau dinihari bagi mengelakkan perkara tidak diingini.

“Pesan orang tua-tua, kita harus bimbang jika orang di luar tiba-tiba menyerang kita dengan senjata tajam dan kalau kita sudah beringat, insya-Allah kita boleh mengelak daripada bahaya kena serang,” katanya.

Said berkata, sejurus selepas daun pintu dibuka, beliau dan isteri kehairanan kerana tiada sesiapa berada di luar dan sapaan Said kepada jika ada sesiapa di luar, tidak disahut.

“Alhamdulillah, Allah menjauhkan kami sekeluarga daripada bahaya…kita hidup di dunia ini bukan makhluk manusia sahaja, ada makhluk Allah yang lain turut menumpang alam ciptaan-Nya,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan menjelaskan surah berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Rumput, Azaman Abu Hassan berkata, anak kariah kampung itu sudah membaca surah Yassin beramai-ramai pada malam Jumaat lalu selepas beberapa kediaman penduduk diganggu ketukan yang sama pada awal pagi Khamis lalu.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid Tok Janggut berkata, majlis bacaan surah Yassin memang diadakan pada setiap malam Jumaat dan bukan hanya jika ada gangguan ketukan pintu seumpama itu.

“Alhamdulillah setakat ini kampung kami aman dan damai dan kami berdoa agar Allah memelihara kami daripada bahaya,” katanya.

Views:

2068
Kongsi :
Previous post Tujuh operator judi dicekup
Next post Semua hutang projek PR1MA yang dibatalkan dibayar pada 2023 – KPKT
Ubah saiz-+=