Tukar reban ayam terbuka kepada sistem tertutup – MPJ

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 5 Oktober – Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) mengarahkan 25 operator ladang ayam terbuka tidak berdaftar di daerah itu agar menukar operasi mereka kepada sistem reban tertutup.

Yang Dipertua MPJ, Rosemanizam Mohammed Nalif berkata, operator berkenaan diharap dapat menukar operasi ke sistem reban tertutup dengan segera bagi memastikan tidak timbul kesulitan kacau ganggu seperti lalat dan bau busuk kepada penduduk sekitar.

“Baru-baru ini saya melawat ladang menternak 10,000 ekor ayam susulan aduan berhubung lalat dan pembangunan tanpa kelulusan. Memang benar saya lihat ladang ini tidak terurus, pembangunan reban juga tidak ikut spesifikasi.

“Pemilik ladang cuma ada lesen daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), tetapi untuk permit pembangunan kelulusan daripada pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mereka tiada.

“Jadi saya syaratkan semua pemilik ladang ayam terbuka yang tidak berdaftar ini menukar operasi ke reban tertutup. Saya tidak ambil tindakan tergesa-gesa kerana tidak mahu jejaskan keterjaminan bekalan ayam di negeri ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau, mengingatkan kepada semua pemilik ladang agar turut memohon permit pembangunan sementara dikeluarkan PBT selain lesen penternakan ladang ayam daripada JPV.

“Dapatkan permit pembangunan sementara ini supaya jika berlaku apa-apa kemalangan kita ada rekod.

“Setakat ini ada 48 ladang ternakan ayam yang berdaftar sekitar daerah Jasin, bagaimanapun kita akan semak semula permit pembangunan sementara mereka. Sudah berapa lama, kerana ada yang sudah menambah reban ayam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1232
Kongsi :
Previous post Kampung Felda Hutan Percha juara Anugerah Semarak Gemilang Peringkat Negeri Melaka 2023
Next post Pelajar sekolah ejen tangani perubahan iklim
Ubah saiz-+=