Tun Khalil memahat sanubari warga Melaka

Masa Membaca:5 Minit, 17 Saat

Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah
[email protected]

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi Dan Pengajian Media (FKPM)
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

MELAKA bumi bertuah, menyemai khazanah sejarah kepahlawanan bangsa. Dunia mampu mengenali Malaysia daripada sejarah kesultanannya.

Namun lakaran sejarah itu juga mampu membuka minda para pemimpin dan rakyatnya yang mahu berfikir serta memiliki dasawarsa yang jelas, utuh hatta berdaya saing.

Negeri ini kembali harum disebut-sebut di bawah dua tokoh terkemuka yang dilihat sangat lestari, berkredibiliti, berkarisma, intelektual serta memiliki “blueperint” dan berjiwa besar.

Tun Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob yang dilahirkan pada 29 Disember 1937 di Kuantan, Pahang telah melakar sejarah terulung di Melaka melalui peranannya sebagai Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 4 Jun 2004.

Tun Mohd. Khalil mendapat pendidikan awal di Sekolah Ahmad Shah sebelum meneruskan pengajian di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) seterusnya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.

Dari aspek kronologi kepimpinan sebelum menjadi TYT Melaka, beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam sektor kerajaan.

Tun Mohd. Khalil pernah berkhidmat dengan Kementerian Luar sebagai diplomat selama 13 tahun di Itali, Maghribi, Singapura dan Indonesia.

Sekembali dari luar negara, Tun Mohd. Khalil dilantik sebagai Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ).

Pada usia 45 tahun, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan (1982-1984) dan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1984-1986) selain menjadi Menteri Besar Pahang pada 14 Ogos 1986.

Pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Penerangan sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 4 Jun 2004.

Pelantikan sebagai TYT diperkenankan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Alharhum Tuanku Syed Putera Jamalullai melalui persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu dan sokongan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Keterlibatan Tun Mohd. Khalil dalam politik bermula pada 1962 apabila beliau menyertai UMNO dan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang (Bukit Ibam 1978) dan di Parlimen Maran.

Gaya kepimpinan Tun Mohd. Khalil memang telah lama dihidu Tun Dr Mahathir dan dalam kalangan golongan kerabat khususnya di bawah kepimpinan Sultan Syed Sirajuddin dan juga Majlis Raja-Raja Melayu.

Kepimpinan Tun Mohd. Khalil juga amat lestari, berjiwa rakyat dan bersifat `transformational.’

Ketika dalam kerajaan, Tun Mohd. Khalil banyak membantu mempermudahkan urusan Perdana Menteri dalam merencana pentadbiran kerajaan.

Kemampuan dan semangat juang serta pengorbanan inilah yang menyebabkan Tun Dr. Mahathir memberikan keyakinan kepada YDPA dan Raja-Raja Melayu agar Tun Mohd. Khalil dilantik sebagai TYT ke 6 Melaka.

Tun Mohd. Khalil sentiasa mengikuti setiap inci perkembangan di Melaka dan mampu menghidu sebarang perubahan serta pembangunan Melaka.

Tun Mohd Khalil (tengah) menerima penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah daripada Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Tun Mohd Ali (kanan) pada Istiadat Konvokesyen ke-21 KUIM tidak lama dulu. Turut hadir Pengerusi Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Datuk Seri Idris Haron (kiri).

Melaka di bawah kepimpinan Tun Mohd. Khalil yang dibantu Tun Mohd Ali amat menyerlah, disegani dan dijadikan ikutan dalam kalangan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, negeri-negeri dan kerajaan tempatan lain.

Sebagai contoh, di bawah kepimpinan mereka, Melaka berjaya menjana pendapatan melalui industri pelancongan, muncul negeri terbersih dan kadar jenayah yang rendah.

Di samping itu, Melaka pernah memperoleh anugerah One Planet City Challenge (OPCC) sebagai Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) dan Green Apple For The Built Environment and Architectural Heritage daripada The Green Organization.

Pada 2018, Melaka sekali lagi menerima anugerah OPCC daripada Tabung Alam Sekitar Sedunia (WWF) di San Francisco, Amerika Syarikat.

Pengiktirafan ini meletakkan Melaka sebagai bandar raya hijau setanding bandar dunia terkemuka lain.

Tun Mohd. Khalil dan Tun Mohd Ali turut tekad berazam mahu menjadikan Melaka sebagai negeri maju pada 2020.

Kepimpinan Tun Mohd. Khalil dilihat amat berjiwa rakyat apabila tidak akan teragak-agak untuk memberi pengiktirafan kepada mana-mana individu yang dilihat amat berkelayakan dan wajar.

Lantaran daripada kelestarian dan keterbukaan kepimpinan inilah juga ramai rakyat akar umbi, pemimpin politik, tokoh korporat dan artis terkenal dalam dan luar negara diberikan pelbagai gelaran sempena ulangtahun kelahirannya.

Selain Tun Mohd. Ali, dua lagi mantan Ketua Menteri Melaka yang sempat berkhidmat dibawah teraju Tun Mohd. Khalil ialah Datuk Seri Idris Haron dan Adly Zahari sehinggalah beliau meninggalkan tampuk kepimpinan sebagai TYT, pada 4 Jun 2020 ketika Datuk Haji Sulaiman Md Ali menjadi Ketua Menteri Melaka ke 12.

Kepimpinan transformational Tun Mohd. Khalil mampu dilihat melalui kesanggupan beliau mendekati pelbagai khalayak mahupun pemegang taruh atau stakeholders.

Tun Mohd. Khalil sentiasa mendekati majlis melibatkan golongan bawahan dan asnaf selain menghulurkan sumbangan peribadinya kepada golongan yang mengalami musibah.

Dalam aspek pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) adalah antara pusat pengajian tinggi yang senantiasa dikunjungi Tun Mohd. Khalil malah seluruh warga pendidik amat menghargai dan memperoleh pelbagai manfaat daripada keterlibatan dan sumbangan beliau.

Beliau juga berperanan sebagai pakar rujuk dalam kalangan pemimpin politik, pegawai kerajaa, pembangkang, profesional dan korporat di negeri ini.

Tun Mohd. Khalil amat mengalu-alukan kehadiran pelbagai pemegang taruh dan kumpulan masyarakat yang nekad hadir di pejabatnya di Seri Negeri untuk memohon pandangan, idea dan mencari jalan penyelesaian dalam pelbagai isu termasuk politik, ekonomi, perpaduan masyarakat, keselamatan dan juga pembangunan negeri secara keseluruhannya.

Tun Mohd. Khalil amat menjaga dan mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu, hak peribumi Melayu, kesucian Agama Islam serta menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan Negara.

Pun begitu beliau tidak pernah menafikan hak kaum dan agama lain malahan turut menjaga dan memelihara kebebasan beragama serta mengamalkan silang budaya dalam kalangan pelbagai demografi dan etnik masyarakat negeri ini.

Daripada aspek protokol, Tun Mohd. Khalil tidak terlalu bersifat birokrasi.

Buktinya beliau sering turun padang termasuklah ke pasar dan kedai untuk membeli barangan keperluan tanpa melibatkan anggota pasukan keselamatan yang wajar mengiringinya 24 jam.

Tun Mohd. Khalil tidak kekok bersalaman, menegur dan melemparkan senyuman kepada sesiapa sahaja yang ditemui.

Pendekatan gaya kepimpinan inilah juga menyebabkan kepimpinan Tun Mohd Khalil disambung dari semasa ke semasa oleh YDPA dan Majlis Raja-Raja sejak 2004.

Namun loceng keramat kepimpinan TYT baharu Negeri Melaka telah berbunyi.

Kini tibalah masa untuk TYT ke-7 menyambung legasi yang ditinggalkan oleh Tun Mohd. Khalil.

Bagi kami rakyat Melaka ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tun Mohd. Khalil yang banyak menabur bakti kepada bumi Hang Tuah ini.

Jasa Tun Khalil akan terus terpahat dalam tinta emas sejarah Melaka untuk selama-lamanya.

Terima kasih Tun…

Views:

693
Kongsi :
Previous post Agong zahir harapan rakyat Malaysia kekal perpaduan
Next post Trafik harian dijangka melonjak 15 peratus mulai 10 Jun – PLUS
Ubah saiz-+=