Tutup semua suis sebelum pulang ke kampung

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

BUKIT KATIL 17 Februari – Orang ramai bercadang untuk pulang ke kampung sepanjang tempoh musim cuti persekolahan diingatkan supaya melakukan pemeriksaan sebelum meninggalkan kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang risiko boleh mengundang kecelakaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, R. Iswandy R. Hassan berkata, antara aspek perlu diberikan perhatian adalah menutup semua suis peralatan elektrik bagi mengelakkan risiko kebakaran.

Katanya, perkara itu perlu diberikan perhatian berikutan 30 peratus kebakaran direkodkan sebelum ini adalah berpunca daripada peralatan elektrik rosak dan tidak menutup suis.

“Sudah pasti rumah akan ditinggalkan bagi tempoh masa yang lama, jadi sebelum pulang ke kampung atau pergi bercuti beri perhatian dan lebih cakna terhadap semua aspek ini.

“Kami juga berharap kesedaran orang awam untuk menyimpan alat pemadam api di kediaman masing-masing dapat ditingkatkan lagi. Alat berkenaan amat berguna, untuk memadamkan kebakaran sementara menunggu bomba sampai.

“Tidak semestinya untuk rumah sendiri mungkin boleh membantu jika ada kecemasan di kediaman jiran,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan JBPM Melaka 2024 diadakan di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, di sini, semalam.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga agar lebih peka terhadap pergerakan anak masing-masing terutama jika mengunjungi pusat peranginan membabitkan aktiviti air bagi mengelakkan kejadian lemas.

“Contoh jika bersantai di kawasan air terjun, minta hati-hati dan perhatikan persekitaran anda bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti kepala air,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post Rancang bina lima balai bomba baharu
Next post Hartanah tidak terjual di Melaka rendah
Ubah saiz-+=