Sorting by

×

TVET MELAKA LAKAR PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN, LAHIR 7 USAHAWAN JUTAWAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

BANDA HILIR 20 April – Melaka terus muncul sebagai antara ‘kuasa’ besar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila berjaya melakar beberapa pencapaian membanggakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sejak TVET mula diperkasa, Melaka terus berada di di landasan kukuh dengan kewujuan 61 institusi TVET dan universiti, yang merangkumi sektor utama seperti automotif, pembuatan, elektrik dan elektronik.

Malah, ujar beliau, negeri ini juga menjadi antara penyumbang kepada pencapaian kadar kebolehpasaran graduan TVET di peringkat nasional.

“Selain itu, pelaksanaan 28 program berimpak tinggi melalui kerjasama institusi latihan, agensi kerajaan, industri serta komuniti setempat telah memberi manfaat kepada 179,300 individu.

“Istimewanya, kita turut melahirkan tujuh orang usahawan jutawan ‘Permata Biru’ melalui program Giatmara di peringkat nasional, sekali gus membuktikan TVET bukan sahaja melahirkan pekerja mahir, tetapi juga usahawan berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka Tahun 2026 di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, bidang TVET turut memberi tempias kepada 30 peserta dalam kalangan B40 apabila dapat menyertai program intervensi bersasar untuk mengikuti program Basic Scaffolding, dan kesemuanya telah pun mendapat penempatan kerja sejurus tamat latihan.

Selain itu, kata beliau, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pula terus mengukuh kedudukan sebagai universiti awam pilihan utama majikan di Malaysia sebagai salah satu institusi TVET utama negeri ini.

“Melaka juga berjaya memperkenalkan pendekatan inovatif melalui penubuhan institusi TVET Tahfiz pertama seumpamanya di dunia, menerusi Persijilan Profesional Menyelam Dasar Laut.

“Dari sudut industri di Melaka, lebih 2,000 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan telah diisi oleh graduan TVET pada tahun 2025 dan kita juga bersyukur kerana sektor ini menyumbang sekitar 38 peratus kepada KDNK negeri, sekali gus jelas menunjukkan hubungan langsung antara TVET dan kekuatan industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

453
Kongsi :
Previous post OPERASI PEMBENIHAN AWAN SIRI 2 BANTU TANGANI KEKURANGAN AIR MELAKA