TYT dan isteri hadir sambutan Maulidur Rasul

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BUKIT PALAH 19 Okt – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman menghadiri Majlis Anugerah Khas Rasul sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Auditorium Al Azim, Masjid Al-Azim di sini hari ini.

Ketibaan beliau dan isteri pada jam 8.30 pagi disambut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad serta barisan Exco kerajaan negeri.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam (MAIM), Datuk Md Rawi Mahmud serta Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat.

Dengan bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, majlis berkenaan dihadiri kira-kira 200 tetamu.

MOHD Ali bersama Sulaiman melancarkan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Masjid Al-Azim di sini hari ini

Sulaiman yang juga Pengerusi MAIM dalam ucapannya berkata, ummah yang berkualiti meletakkan ciri rabbani sebagai keutamaan dalam cara hidup serta menjadikan Al-Quran dan as-sunnah sebagai rujukan utama dalam kehidupan.

Katanya, dalam konteks cabaran hari ini, sebahagian besar daripada dasar kerajaan yang dilaksanakan adalah bertujuan untuk membendung wabak COVID-19 selain membantu golongan terjejas.

“Walaupun kes positif COVID-19 hari ini dilihat semakin berkurangan namun kita perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bukan itu sahaja, saya menyeru kepada semua khususnya umat Islam untuk sama-sama menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebagai usaha memutuskan rantai wabak ini,” katanya.

Dalam majlis itu, bekas Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sharul Lalli Masduki yang dinobatkan Tokoh Umar Abdul Aziz antara sembilan individu yang menerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul.

Turut menerima anugerah berkenaan, Pengerusi Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),?Datuk Rahimin Bani yang menerima Tokoh Muhamad Al-Fateh.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1188
Kongsi :
Previous post Anwar desak PM arah pihak berkuasa siasat isu Pandora Papers
Next post DAP tolak Norhizam calon PRN – Guan Eng
Ubah saiz-+=