TYT hadir ke Majlis Makan Malam bersempena penganugerahan tertinggi Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 25 Ogos – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam hadir ke Majlis Makan Malam bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan Istiadat Menghadap dan Mempersembahkan Darjah Seri Paduka Setia Melaka.

Mohd Ali bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Abd Rahman tiba di perkarangan dewan utama pada jam 8.35 malam.

Ketibaannya disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali bersama EXCO Kerajaan Negeri dan pemimpin besar yang lain.

Majlis itu dimulai dengan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya, disusuli dengan bacaan doa oleh Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Seterusnya, diadakan upacara memotong kek bersempena dengan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri dan diikuti dengan jamuan makan malam dan persembahan kebudayaan.

Terdahulu, di sebelah pagi, Mohd Ali berkenan menerima penganugerahan darjah tertinggi Melaka iaitu Darjah Seri Paduka Setia Melaka yang membawa gelaran Tun Seri Setia.

Penganugerahan yang julung kali diadakan itu menjadikan Mohd Ali sebagai individu pertama menerima penganugerahan tertinggi sebagai penghargaan daripada Kerajaan Negeri Melaka.

Ia juga dianugerahkan bagi memperingati jasa dan memberi penghargaan utama di atas pelantikan Mohd Ali yang merupakan anak jati pertama negeri ini dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka pada 5 Jun lepas.

Di samping itu, Mohd Ali turut berkenan mempersembahkan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Sulaiman di majlis sama.

Views:

513
Kongsi :
Previous post Setinggi-tinggi Tahniah kepada YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman bin Md Ali Ketua Menteri Melaka Di atas Penganugerahan Darjah Utama Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk Seri Utama. Setulus ikhlas daripada Ahli Lembaga Pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi, dan seluruh warga kerja Melaka Hari Ini.
Next post Masyarakat peribumi perlu masa hadapan terbaik
Ubah saiz-+=