TYT serikan pusingan akhir Pidato Rukun Negara di MITC

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 8 Sept. – Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam hadir memeriahkan pusingan akhir Pertandingan Pidato Rukun Negara bertempat di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), sebentar tadi.

Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia tiba di majlis berkenaan pada kira-kira jam 8.45 malam dan disambut Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Hasim Hasan serta Exco-exco Kerajaan Negeri.

Pertandingan pidato itu bermula pada jam 9 malam bermula dengan kategori sekolah rendah dan diikuti kategori sekolah menengah, kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan kategori umum.

Juara setiap kategori bakal membawa pulang hadiah wang tunai berserta Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri yang disampaikan sendiri oleh TYT Tun.

Untuk rekod, sebanyak 203 penyertaan dari seluruh Melaka diterima dalam semua kategori selepas tarikh penyertaan ditutup pada 28 Ogos.

Daripada jumlah itu, hanya tiga peserta terbaik terpilih untuk bersaing di pusingan akhir dan merebut gelaran juara.

Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri diadakan bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme, kenegaraan dan penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

Program ini diharap dapat meningkatkan rasa sayang dan kecintaan terhadap negara dan pada masa menyuburkan nilai-nilai murni demi kecintaan kepada Negeri Melaka, selaras dengan slogan Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia.

Views:

689
Kongsi :
Previous post Komuniti India di hati Ketua Menteri
Next post Bekalan air di tujuh wilayah pulih sepenuhnya – Air Selangor
Ubah saiz-+=