Sorting by

×

Ucapan Perutusan Merdeka Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

Masa Membaca:6 Minit, 52 Saat

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Melakaku Maju Jaya, Rakyat Bahagia, Menggamit Dunia.

Terlebih dahulu, di kesempatan ini, saya bersama seluruh perikatan kepimpinan dan rakyat Negeri Melaka, ingin merafak setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama, Tun Seri Setia (Dr) Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, di atas penganugerahan Darjah Seri Paduka Setia Melaka, yang membawa gelaran Seri Setia, pada minggu lepas. Menjunjung syabas kami ucapkan!

Seterusnya, saya juga ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada Tuan Yang Terutama, Tun Seri    Setia, di atas kesudian hadir di program Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2020 ini.

Sesungguhnya kehadiran ini, jelas membuktikan bahawa, betapa Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia,  begitu mengambil berat terhadap ehwal rakyat di negeri ini.

Kami berdoa semoga Tuan Yang Terutama Tun Seri  Setia dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan seisi keluarga, dilimpahi rahmat serta maghfirah, lalu dikurniakan afiat usia berpanjangan, untuk terus memayungi Melaka negeri yang tercinta ini.

Sebagai menzahirkan kasih penghargaan saya dan rakyat Melaka, benarlah bagai bidalan pantun Melayu;

Negeri Melaka bumi bertuah,
Kaya sejarah makmur diberkati,
Seluruh rakyat merafak sembah,
Tun laksana payung negeri

Saban tahun negara merdeka,
Disambut lagi kesekian kali,
Kehadiran Tun gemilang acara,
Menjadi ingatan dalam nubari

Hari ini, tanggal 31 haribulan Ogos 2020, bersamaan 12 Muharram 1442 Hijriyah, seluruh
negara, bahkan kita rakyat di negeri Melaka, bermula dari hujung Kuala Linggi, sampai ke
Asahan, membawa ke sempadan Johor di Sungai Rambai, menyambut hari yang amat penting lagi bersejarah, yakni detik kemerdekaan negara tercinta, bernama Malaysia.

Hari ini juga, saya turut berbesar hati sambil mengucapkan berbanyak terima kasih kepada
seluruh kakitangan Jabatan Ketua Menteri dan ketua-ketua jabatan serta agensi di Melaka, yang walaupun hari ini cuti umum, namun tetap bersemangat untuk hadir berhimpun di hadapan Dataran Seri Negeri.

Demi menyemarakkan lagi, majlis Sambutan Hari Kebangsaan Ke-63 Peringkat Negeri Melaka bagi tahun 2020, yang penuh bermakna ini. Tahniah saya ucapkan!

Lebih enam dekad lalu, kita telah menyaksikan, bagaimana, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, telah memilih tanah bertuah ini, yang hanya beberapa kilometer dari tempat kita berdiri sekarang, sebagai bumi pertama, bagi Bapa Kemerdekaan Malaysia tersebut untuk
mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.

Betapa bangganya orang Melaka, hinggakan merinding dan tegak bulu roma kita, tatkala
mengingatkan, yang menurut sejarah mencatatkan,…

Teriakan orang bersahut-sahutan dan laungan merdeka yang bergemuruh, di langit Padang
Banda Hilir atau kini Dataran Pahlawan, sambil disambut dengan penuh gembira dan kesyukuran oleh hampir 100 ribu lautan manusia ketika itu.

Mana tidaknya kita bangga, masa kan tidak kita berasa syukur lagi teruja, kerana, pada
hemat saya, “merdeka itu tinggi nilainya. Merdeka itu merupakan perjuangan. Merdeka
itu adalah pengorbanan,… Merdeka itu juga, umpama membasuh seraya menutup “luka-luka berdarah”, akibat siri-siri penjajahan yang sangat panjang.

Lantaran demikian, berikanlah tabik penghormatan tinggi, kepada semua pejuang kemerdekaan tanahair, yang telah bermati-matian, berkorban jiwa dan raga, termasuk juga kepada para perajurit, anggota pasukan keselamatan negara, demi memastikan kita semua dapat hidup aman serta sejahtera. Marilah kita berikan tepuk penghargaan kepada mereka semua!

Pastinya, kita bersyukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang unik, mempunyai pelbagai rencam budaya, agama dan adat resam.

Majmuknya kaum dalam negara ini bukanlah menghalang kita, untuk terus bersatu dalam
kepelbagaian, atau unity in diversity, selain dapat hidup dengan penuh harmoni, aman dan rukun damai serta sentosa.

Kita sedar, walaupun adakalanya timbul suara-suara sumbang yang mahu menggugat
ketenteraman antara sesama rakyat, dengan meniupkan isu dan sentimen api perkauman, namun rakyat Melaka serta masyarakat Malaysia secara keseluruhannya, perlulah menolak fahaman sempit sedemikian, dengan tetap berpegang kepada prinsip tasamuh atau tolak ansur serta saling hormat-menghormati antara satu sama lain, sebagaimana yang digariskan dalam kerangka prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan.

TEMA MALAYSIA PRIHATIN

Pada tahun ini, slogan “Malaysia Prihatin” telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan bagi tahun 2020. Tema ini membawa pengertian yang cukup mendalam kepada rakyat Malaysia, terutama ketika negeri ini sedang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

Perkataan MALAYSIA di dalam tema ini menggambarkan bahawa, seluruh rakyat Malaysia
sudah bersatu hari, untuk turut sama memerangi COVID-19 yang sedang mengancam banyak negara di seluruh dunia.

Manakala, perkataan PRIHATIN pula menggambarkan, kecaknaan kerajaan dengan
melakukan pelbagai inisiatif, merangkumi aspek ekonomi dan kebajikan, demi kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Menyentuh tentang percanggahan yang berlaku sama ada di media massa atau media sosial, semuanya boleh diatasi, asalkan kita sentiasa berfikiran matang, berlapang dada dan berikhtiar mencari titik-titik persamaan serta meraikan perbezaan, supaya negeri ini terus kekal merdeka, sekali gus bebas daripada cengkaman penjajah.

Pentingnya di sini, selain membiasakan diri dengan “the new norm”, yakni norma baharu dan mematuhi SOP dalam PKPP sehingga Disember hujung tahun, kita juga mesti berusaha gigih dalam mengekang wabak ini daripada tersebar luas di negeri ini, dengan Hashtag, #MelakaMestiMenangCOVID19.

Saya yakin kita boleh lakukan. Apatah lagi negeri Hang Tuah sebelum ini, pernah menjadi antara 3 negeri terbaik di seluruh Malaysia!

Berhubung demikian, bersamalah kita ucapkan terima kasih yang tidak terhingga, kepada semua frontliners COVID-19 negeri Melaka, termasuklah para doktor, jururawat, pasukan polis dan tentera, imigresen, bomba, RELA, Angkatan Pertahanan Awam, Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi, yang telah bertugas siang serta malam, demi mengekang penularan wabak berbahaya, COVID-19.

Semestinya, jasa mereka tidak terbalas, lalu, silalah beri tepukan gemuruh kepada mereka, semua frontliners yang kita kasihi!

Saya turut berbangga apabila melihat kali ini, sudah banyak kenderaan telah memasang bendera dan jalur gemilang di kenderaan masing-masing.

Lebih menarik lagi, ada kenderaan yang memasang lebih dari satu bendera. Tetapi, kita tidak boleh mudah berpuas hati, malahan, kita akan terus memperhebatkan lagi amalan kibaran bendera seperti itu, pada tahun-tahun mendatang. Apapun, syabas saya ucapkan!

Apa yang penting, melalui semangat patriotisme sebegini, setidak-tidaknya, mendorong kerajaan negeri, untuk terus memastikan agar kemakmuran dan ketenteraman negeri berkekalan, sekali gus dapat merancakkan lagi lebih banyak projek pembangunan di pelbagai sektor, demi kemajuan ekonomi Negeri Melaka.

Pokoknya, dalam menginsafi sambutan kemerdekaan ini, saya ingin berkongsi tiga pesanan merdeka untuk dijadikan asas kepada semua rakyat di negeri ini;

Pertama: Saya pinta agar kita kukuhkan semangat perpaduan dan kebersatuan dalam kalangan masyarakat, demi persiapan untuk berdepan dengan pelbagai cabaran semasa serta era akan datang.

Kedua: Saya rayu, kita sama-sama suburkan nilai-nilai murni dan patriotisme dalam kalangan rakyat, dengan menanamkan roh serta semangat mencintai negeri dan negara ini, yang wajib kita pertahankan bersama.

Ketiga: saya mengajak semua, untuk kita mewajah dan mewariskan sebuah negeri yang lestari, atas kerangka tunjang, MELAKA RUMAHKU yang maju jaya, sejahtera dan bahagia, kepada masyarakat masa kini serta generasi mendatang, di mana nikmat kemakmurannya,… boleh dirasai oleh semua golongan, tidak kira petani, nelayan, pekebun kecil, peniaga, penjawat awam, cikgu, pensyarah, penarik beca dan pemandu teksi serta kelompok B40.

Jelasnya, tahniah sekali lagi saya ucapkan, kepada semua pihak yang turut sama-sama terlibat, sama ada daripada jabatan atau agensi serta rakyat Melaka, termasuklah Jabatan Penerangan Malaysia  negeri, dalam menjayakan program-program menarik di Bulan Kebangsaan ini. Tahniah saya zahirkan!

Syabas juga kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT, kerana saya dimaklumkan, puluhan ribu Jalur Gemilang telah dikibarkan dengan megah di seluruh negeri Melaka.

InsyaAllah, pada sambutan tahun hadapan, kita akan menggalakkan lebih ramai lagi rakyat di negeri ini, supaya turut sama-sama mengambil inisiatif, bagi ‘mewarna-warnikan’ Melaka, dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Melaka di seluruh pelosok negeri. Bagi mereka yang telah mulainya pada tahun ini, sekalung tahniah diucapkan!

Akhir kalam, saya mengajak saudara dan saudari semua, agar bersama saya, letakkan telapak tangan kanan anda di dada sebelah kiri, sebagai simbolik terletaknya hati sanubari, seraya mengikut saya, dan katakanlah bahawa,…

Di sini lahirnya sebuah cinta,…
Di sinilah tersematnya tekad dan cita-cita,…
Di sinilah juga, kita semarakkan semangat
patriotisme, yang menjulang tinggi, lagi marak menyala,…

Sesungguhnya jua,… kita adalah penyambung  warisan negara,…

Sekali merdeka,.. tetaplah merdeka,…
Merdekalah Melaka,… merdekalah Malaysia,… buat selama-lamanya!

Ayuhlah,… kita laungkan kata-kata keramat;

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Demikianlah sahaja ucapan saya pada kali ini. Semoga Tuan Yang Terutama, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka, dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira Hajah Asmah Binti Abd Rahman serta anakanda dan cucunda,

Dikurniakan Allah dalam keberkatan, kesihatan dan kerahmatan berpanjangan, di bawah lindungan Tuhan.

Istana Melaka bertiang seri,
Megah berdiri kebanggaan negeri;
Payungan Tun sangat bererti,
Rakyat menjunjung setulus hati

Sekian, terima kasih

Views:

502
Kongsi :
Previous post Melaka mampu capai kehadiran 7 juta pelancong pasca Covid-19
Next post Hari Kebangsaan 2020 dalam norma baharu penuh bermakna
Ubah saiz-+=