UiTM, ICRC anjur pertandingan untuk wartawan muda

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Belia yang aktif menyumbang artikel yang memberi impak positif kepada masyarakat dan negara, kini berpeluang menyertai pertandingan anjuran bersama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).

Pertandingan Young Humanitarian Journalists Competition (YHJC) 2022 yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesan pelaporan media mengenai isu kemanusiaan, telah dilancarkan pada 9 Mei sempena memperingati 50 tahun tindakan kemanusiaan dan kewartawanan.

Dekan FKPM, Profesor Madya Dr. Massila Hamzah, berkata wartawan muda dan yang bercita-cita tinggi disaran menyertai pertandingan ini memandangkan laporan kemanusiaan mereka boleh membawa kepada perubahan positif kepada komuniti yang rentan.

“Kami juga gesa belia hari ini mengambil kira tindakan kemanusiaan yang telah mengurangkan penderitaan manusia, termasuk mempromosikan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama.

Pertandingan itu sempena sambutan jubli emas penganjur – FCMS dan ICRC – yang kedua-duanya ditubuhkan pada 1972.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 penyertaan Malaysia ke Konvensyen Geneva yang menjadi teras Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL).

Disokong Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, pertandingan ini terbuka kepada mereka berumur antara 18 dan 30 tahun dan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara.

Penyertaan sama ada dalam format esei atau video. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 11 Nov 2022.

Untuk maklumat lanjut, boleh merujuk poster pertandingan atau layari laman sesawang penganjur.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1241
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki OKU ditemukan di tepi sungai
Next post Badminton Terbuka Malaysia kembali, tiket mula dijual Khamis
Ubah saiz-+=