Ulangan PM ucap selamat menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR 30 Mei – Menyambut Pesta Kaamatan dan Hari Gawai dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung peningkatan kes COVID-19, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu masyarakat yang meraikan perayaan itu menyambutnya dalam norma baharu.

Beliau berkata biarpun perayaan kesyukuran selepas musim menuai itu dirai dalam suasana berbeza kali ini, semua larangan yang ditetapkan adalah semata-mata untuk menjauhkan rakyat daripada terus dijangkiti virus berbahaya tersebut.

“Saya memahami perasaan sedih anda semua kerana tidak dapat meraikan perayaan ini dengan meriah sebagaimana tahun-tahun terdahulu.

“Nasihat saya, raikanlah perayaan ini dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria. Elakkan daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan yang penting,” katanya dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Perdana Menteri juga berharap Pesta Kaamatan dan Hari Gawai pada tahun ini menguatkan lagi iltizam rakyat dalam mengharungi segala cabaran serta dugaan demi kemakmuran bersama dan masa depan negara yang lebih cerah.

“Selamat Menyambut Pesta Kaamatan & Hari Gawai 2021. Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Gayu Guru Gerai Nyamai,” kata beliau.

Masyarakat Kadazandusun di Sabah akan menyambut Pesta Kaamatan esok disusuli dengan sambutan Hari Gawai oleh komuniti Dayak di Sarawak pada Selasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

472
Kongsi :
Previous post Kempunan beli iPhone 13 semurah RM500
Next post 98 kematian akibat COVID-19, satu detik hitam buat Malaysia – Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=