UMNO, DAP tak sudi terima Norhizam kembali

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 14 April – UMNO dan DAP tidak memberi ruang kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee yang mengimpikan untuk bertanding atas tiket dua parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Memetik laporan Free Malaysia Today, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof tegas menyatakan parti itu sudah mempunyai calon yang cukup dan lebih berkelayakan berbanding Norhizam.

Ab Rauf menegaskan Norhizam tidak akan mendapat peluang bertanding atas tiket parti itu namun sedia menimbangkan semula keahliannya di dalam UMNO.

“Jika nak kembali kepada UMNO tanpa sebarang syarat kita akan pertimbangkan, tapi sebagai calon kami saya rasa tidak.

“Kami ada pengalaman yang tidak bagus dengan beliau, jadi cukuplah sekali,” katanya.

Sementara itu Pengerusi DAP Melaka Melaka Damien Yeo juga dengan nada tegas mengatakan mereka tidak mahu Norhizam kembali kepada parti itu.

Keputusan itu berdasarkan kepada tindakan Norhizam sebelum ini yang menyebabkan akar umbi parti itu berasa dikhianati.

Dia yang kecewa dengan tindakan YB Viral itu sebelum ini menyifatkan Norhizam sebagai seorang yang tidak ada prinsip dan hanya mementingkan diri sendiri.

Terdahulu Ahad lalu media melaporkan Norhizam menyatakan hasrat untuk menjadi calon pada PRU-15 akan datang.

Beliau yang terkenal dengan jolokan YB Viral yang kini tidak terikat dengan mana-mana parti menyatakan kesediaan untuk kembali ke pangkuan UMNO atau DAP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1443
Kongsi :
Previous post Ismail Sabri calon PM pada PRU15 – Ahmad Maslan
Next post Melaka United ucap selamat tinggal Vidakovic
Ubah saiz-+=