Ismail Sabri calon PM pada PRU15 – Ahmad Maslan

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR, 14 April – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, mesyuarat berkenaan turut membuat beberapa ketetapan lain iaitu pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkannya mahupun cubaan untuk mengubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.

“UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Ahmad berkata Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei depan bagi meminda Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti malah pada tarikh berkenaan turut akan berlangsung sambutan Hari UMNO serta jamuan Hari Raya Aidilfitri.

Mengenai kedudukan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai ini, Ahmad berkata MT memutuskan ia tidak akan diteruskan lagi.

Mesyuarat MT itu diadakan sebelum berlangsungnya Majlis Berbuka Puasa UMNO di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. Antara yang hadir pada majlis iftar itu ialah Ahmad Zahid, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Ismail Sabri dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1018
Kongsi :
Previous post Di sebalik kontroversi, Melaka United masih harmoni
Next post UMNO, DAP tak sudi terima Norhizam kembali
Ubah saiz-+=