Di sebalik kontroversi, Melaka United masih harmoni

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) masih berada dalam suasana harmoni meskipun terpalit dengan beberapa kontroversi sebelum ini.

Pengurus Pasukan Muhammad Akram Abdullah berkata, walaupun dikaitkan dengan beberapa isu seperti tunggakan gaji dan berita ketua jurulatih, Risto Vidakovic ditamatkan kontrak, ia tidak menjejaskan rentak dan mental pasukan menghadapi saingan Liga Super.

“Tidak timbul soal keharmonian atau tidak di dalam pasukan Melaka United kerana isu tunggakan gaji sehingga tiga bulan seperti yang tular adalah tidak benar.

“Hubungan di antara ahli-ahli pasukan dilihat kekal harmoni sama ada di dalam mahupun di luar padang dan semangat pemain ketika ini dilihat cukup tinggi untuk menghadapi saingan Liga Malaysia,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Baru-baru ini, Melaka United terpalit dengan dakwaan tunggakan gaji sehingga tiga bulan seperti yang dimaklumkan Vidakovic dalam sidang media selepas kekalahan pada aksi menentang Sabah FC di Stadium Hang Jebat 5 April lalu.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United Datuk Seri Justin Lim tampil menjelaskan tunggakan gaji pemain hanyalah sebulan dan ia sudah dilunaskan sebelum aksi menentang Kuala Lumpur City FC.

Hari ini, media melaporkan Vidakovic telah ditamatkan kontrak atas persetujuan bersama susulan prestasi hambar pasukan yang hanya mencatat satu keputusan seri dan tiga kekalahan dalam empat aksi awal Liga Super musim 2022.

Difahamkan, tugas pengendali Bosnia dan Hezergovina itu kini diambil alih penolong jurulatih, Mohd Asri Ninggal sebelum jurulatih baharu dilantik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

829
Kongsi :
Previous post TYT, 600 jemaah hadiri Bacaan Yasin Perdana MBMB
Next post Ismail Sabri calon PM pada PRU15 – Ahmad Maslan
Ubah saiz-+=