UMNO Melaka bersedia pembubaran DUN

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MASJID TANAH 4 Okt – UMNO Melaka sudah bersiap sedia berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan kehilangan kepercayaan daripada empat ADUN kerajaan yang kini menyatakan sokongan kepada pembangkang hari ini.

Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, biarpun kecewa dengan tindakan empat ADUN berkenaan yang dua daripadanya adalah ADUN UMNO, perjuangan UMNO akan diteruskan.

“Saya diasuh dalam suasana politik untuk bersedia 24 jam menghadapi 1001 kemungkinan.

“Kalau pun Tun (Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam) isytihar pembubaran DUN negeri Melaka, (UMNO) telah bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan ini,” katanya pada sidang media di Villa D’Acqua, Kampung Pulau di sini hari ini.

Ab Rauf. Sidang Media

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan barisan Exco dan ADUN PN.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron (BN), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Ab Rauf bagaimanapun berkata, pembubaran DUN terserah pada TYT sama ada ianya sesuai dilakukan pada masa kini atau sebaliknya.

“Itu terserah pada Tun sama ada nak bubar atau tidak pada suasana ketika ini, atas kebijaksaan Tun untuk mengimbangni kepentingan-kepentingan rakyat dalam waktu kita menghadapai suasana tekanan politik ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

485
Kongsi :
Previous post ‘Sudah pasti saya kecewa’ – Sulaiman
Next post ‘Terbukti mereka jadi duri’ – Ab Rauf
Ubah saiz-+=