UMNO Melaka serah ‘top 5’ bincang keputusan PRU15 dan pemilihan parti

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 18 Mac – UMNO Melaka memberi kepercayaan kepada pucuk pimpinan parti untuk membincangkan mengenai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan mengelakkan sikap mementingkan diri sendiri.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mustafa Musa berkata, keputusan itu terserah kepada pimpinan parti lebih-lebih lagi Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berada dalam ‘top 5’ berkenaan.

Katanya, perkara itu perlu dibincangkan secara baik tanpa ada perbalahan mahupun sikap batu api.

“UMNO Melaka memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat keputusan PRU-15 dan bincanglah elok-elok ‘top 5’.

“Jangan ada dusta antara kita. Jangan ada batu api pengadu domba. Hentikanlah kerana tindakan tidak bermaruah ini hanya akan melemahkan parti.

“Beri kepercayaan kepada ‘top 5’ dan di dalamnya ada Perdana Menteri bincanglah dengan penuh kasih sayang. Elakkan mementingkan diri sendiri dan adu domba sesama kita,” katanya ketika berucap sebagai pencadang usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung UMNO 2021, sebagai dipetik laporan UMNO Online.

Katanya, sekiranya keputusan PRU itu dicapai, UMNO Melaka mahu proses pemilihan diadakan selepas pilihan raya itu bagi memastikan kelancaran perjalanan jentera.

Jelasnya, sekiranya pemilihan diadakan sebelum pilihan raya, perkara itu dibimbangi akan menimbulkan rasa kecil hati dalam kalangan ahli jawatankuasa.

“Kalau positif COVID ianya tujuh hari tetapi pemilihan parti parut tetap ada. Apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya banyak hati yang terguris. Bukan setakat itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya rombakan struktur dan tiba-tiba pilihan raya dipanggil keadaan akan jadi haru-biru.

“Cukup masanya bertandinglah. Pemilihan parti mestilah diadakan selepas pilihan raya dan jangan kompromi. Ikut keputusan parti,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak agar kerajaan melihat kos sara hidup rakyat meskipun pelbagai bantuan kerajaan disalurkan.

Tambahnya, soal pendidikan juga perlu dititkberatkan secara mendalam bagi menyesuaikan keadaan dengan pandemik COVID-19.

“Pendidikan negara jangan dicatur dan dilacur. Macam-macam perubahan terakhir dibuat malah anak-anak kita menjadi bahan dagangan dan bahan percubaan.

“Pembelajaran bersemuka terjejas dengan capaian internet yang kurang. Saya mohon kementerian pendidikan supaya lebih berhemah dalam perkara supaya pendidikan tidak hancur dan berkecai,” ujarnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1402
Kongsi :
Previous post Bantuan kepada anak-anak kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 akan segera diserah
Next post Harimau Malaya dapat sesuaikan diri dengan rejim latihan baharu – Kogi
Ubah saiz-+=