UMNO sedia hadapi PRU, tarikh kerajaan tentukan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA LUMPUR, 15 Mei – UMNO bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bagaimanapun tarikh bila ia akan diadakan ditentukan oleh kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tarikh PRU15 akan ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet.

“Parti adalah berbeza dengan kerajaan. Parti pun tahu kalau ada cadangan, saya bawa ke Kabinet dan Kabinet luluskan.

Jika Kabinet memutuskan tarikh, Kabinet akan memberi mandat kepada saya dan saya akan berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari segi prosedur,” katanya ketika ditemui selepas jamuan Hari Raya Aidilfitri UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menghadiri Perhimpunan Agung Khas UMNO bagi meminda perlembagaan parti itu untuk membolehkan pemilihan parti diadakan tidak lebih daripada enam bulan selepas PRU.

Pindaan itu yang dibentangkan oleh Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diluluskan sebulat suara oleh 2,586 perwakilan yang hadir.

Mengulas mengenai pindaan berkenaan, Ismail Sabri berkata UMNO akan memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk mendapatkan kelulusan penangguhan pemilihan parti.

Ditanya jika UMNO akan berdepan sebarang masalah dengan ROS, Ismail Sabri berkata :” Kita tak tahu, akan hantar permohonan untuk kebenaran tentang pindaan itu, kita tunggu dalam masa 60 hari kena hantar,” katanya.

UMNO sebelum ini menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lepas.

Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO penggal 2021/2023 perlu diadakan sebelum 30 Dis 2022. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

497
Kongsi :
Previous post Bela kebajikan, pendidikan anak yatim DUN Rembia
Next post Lelaki ditikam, ditetak dalam pergaduhan meninggal dunia di hospital
Ubah saiz-+=