UMNO tarik balik sokongan kepada PM serta-merta

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LUMPUR 8 Julai – UMNO awal pagi ini memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam, bermula 8.30 malam tadi.

Katanya keputusan berkenaan dicapai susulan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tujuh pra syarat yang ditetapkan UMNO sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

AHMAD ZAHID pada sidang media secara maya, malam tadi. Foto – UMNO Online.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya dari Pusat Dagangan Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sepanjang tempoh berkenaan, perdana menteri baharu itu hanya akan memfokuskan kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik COVID-19 dengan pendekatan inklusif, selain memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya Mesyuarat MKT turut mengulangi pendirian sepertimana diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, atau pun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan.

Menurutnya mesyuarat juga turut mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post Durian oh durian
Next post Tiga warga asing ditahan bantu siasatan video tular gaduh di asrama pekerja
Ubah saiz-+=