UMNO terus beri dukungan kepada kepimpinan PM Ismail Sabri – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 18 Mac – UMNO mengulangi pendirian untuk terus mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam membangunkan semula negara.
Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap di hadapan kira-kira 2,680 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO hari ini, turut meminta Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti untuk menjaga kerajaan sebaik-baiknya.
“Datuk Seri Ismail jagalah kerajaan elok-elok, kita beri dukungan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita. Insya-Allah saya dan Tok Mat (Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan) dan rakan-rakan lain, kita akan jaga parti.
“Kami akan perkuatkan parti, (manakala) Tok Mail (Ismail Sabri) perkuatkan kerajaan… kerajaan dan parti harus jalan seiring,” katanya dalam ucapan perasmian perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Katanya selain itu beliau dan seluruh perwakilan UMNO turut merakamkan penghargaan kepada Ismail Sabri di atas pengumuman kebenaran untuk pengeluaran RM10,000 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Kita bersyukur kepada Allah SWT, akhirnya kerajaan bersetuju untuk membenarkan mereka yang layak mengeluarkan wang simpanan KWSP secara one-off sebanyak RM10,000.
“Kepada Perdana Menteri, saya dan seluruh perwakilan mengucapkan syabas dan tahniah,” katanya.
Perdana Menteri pada sidang media khas Rabu lepas mengumumkan kerajaan membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia yang masih terkesan susulan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana melibatkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas itu adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata meskipun UMNO bukan parti dominan kerajaan, meskipun pemimpin utama adalah daripada parti, terdapat perkara yang perlu penambahbaikan.
“Biar pun pemimpin utama kerajaan dari UMNO, namun hakikatnya UMNO bukan parti dominan. Dasar-dasar penting biar pun tidak disanggah secara terbuka, namun di belakang, suara-suara sumbang sering kedengaran,” katanya.
“Malah terdapat arahan-arahan dan minit-minit tertentu untuk kepentingan rakyat tidak pun diendahkan. Perdana Menteri, terdapat skru-skru yang wajib diperketatkan….Perdana Menteri terdapat longkang-longkang yang tersumbat yang mesti dibersihkan dari sampah sarap,” katanya. -BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.