Kerajaan peruntuk RM200 juta laksana Program Penyeragaman Harga tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA NERUS, 18 Mac – Kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi pelaksanaan Program Penyeragaman Harga di enam negeri tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata enam negeri tersebut termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.

Beliau berkata peruntukan itu akan memanfaatkan kira-kira 1.2 juta rakyat di kawasan pedalaman dan pulau, yang terpaksa membayar harga barangan keperluan asas pada kadar lebih tinggi berbanding kawasan bandar disebabkan faktor jarak serta logistik.

“Sebanyak 798 kawasan pengedaran di 189 zon telah dikenal pasti untuk pelaksanaan program tersebut.

“Di Sabah kita ada sebanyak 224 kawasan pengedaran, Sarawak (540 kawasan pengedaran), Kedah (satu kawasan pengedaran), Kelantan (15 kawasan pengedaran), Terengganu (dua kawasan pengedaran) dan Pahang (16 kawasan pengedaran),” katanya selepas Program Penyeragaman Harga di Pulau Redang, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saharuddin Mohd Kia.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata KPDNHEP memberi jaminan bekalan barangan makanan termasuk ayam dan telur untuk bulan puasa ini adalah mencukupi.

Beliau berkata pemantauan harga bagi makanan berasaskan telur dan ayam juga akan dijalankan secara berkala, bagi memastikan tiada aktiviti pencatutan oleh peniaga pada bulan berkenaan.

“Kita telah diberi jaminan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bahawa barangan keperluan asas terputus atau sukar diperoleh takkan berlaku.

“Kita jangka akan berlaku sedikit kenaikan harga pada bulan puasa, tetapi nak ingatkan juga peniaga supaya jangan terlibat dengan pencatutan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

691
Kongsi :
Previous post UMNO terus beri dukungan kepada kepimpinan PM Ismail Sabri – Ahmad Zahid
Next post Ukraine, Rusia mungkin capai persetujuan rundingan damai dalam tempoh seminggu
Ubah saiz-+=