[Update] Kerajaan negeri tamat perjanjian tambak laut dengan pemaju Melaka Gateway

Masa Membaca:2 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 16 Nov. – Kerajaan negeri menamatkan perjanjian penambakan laut dengan syarikat pemaju Melaka Gateway, KAJ Development Sdn. Bhd. (KAJD) hari ini.

Perjanjian itu yang bermula sejak 4 Oktober 2017 itu ditamatkan berikutan syarikat berkenaan didapati gagal menyiapkan projek penambakan laut seluas 609 ekar di Daerah Melaka Tengah mengikut tempoh ditetapkan.

Menurut kenyataan Pejabat Ketua Menteri, satu notis penamatan perjanjian sudah dikemukakan kepada syarikat terbabit hari ini.

“Mereka (syarikat) juga dikehendaki menyerahkan tapak projek berkenaan berkuat kuasa daripada notis penamatan itu dikeluarkan oleh Kerajaan Melaka,” katanya.

Susulan itu, katanya, segala urusan berbangkit mengenai tapak projek Melaka Gateway hendaklah berhubung terus dengan kerajaan negeri.

MELAKA Gateway merupakan antara projek berimpak tinggi yang dirancang untuk mengukuhkan ekonomi negara menerusi inisiatif Inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (OBOR). Foto internet

Melaka Gateway adalah projek pembangunan komersial bercampur di kawasan seluas 246.4 hektar terdiri daripada empat pulau.

Tiga daripada pulau itu dengan dua darinya merupakan pulau buatan manusia dijangka siap pada 2025 dan dianggarkan bernilai RM43 bilion, bagi memperkasakan sektor pelancongan, hartanah dan perkembangan maritim.

Manakala, pulau keempat, iaitu Pulau Melaka dilaporkan bakal menjadi pusat aktiviti maritim dan taman industri maritim yang akan dibangunkan KAJD bersama Kerajaan Guangdong, China dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Melaka Gateway merupakan antara projek berskala mega bagi menyahut inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Jalan’ yang dilaksanakan Kerajaan China pada 2013.

Inisiatif itu merupakan strategi pembangunan ekonomi yang menyatukan wilayah Asia menjadi lokasi pembangunan ekonomi terbesar melalui pembangunan infrastruktur melibatkan Asia Timur, Asia Selatan, Asia barat, Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah.

Dalam masa sama, ia juga dirancang untuk mengukuhkan ekonomi negara menerusi hubungan silaturrahim yang telah terjalin antara Melaka dan China kira-kira 600 tahun lalu.

PROJEK penambakan laut Melaka Gateway merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan. Foto internet

Ia telah dirasmikan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dikatakan dapat membantu sasaran kerajaan menerima kunjungan 36 juta pelancong menjelang 2020.

Projek itu merangkumi 12 presint antaranya pusat hiburan, pusat fesyen antarabangsa, penempatan dan aktiviti kapal layar taman bersejarah, taman kebudayaan dan resort pelancongan yang bakal menawarkan 15,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, sebahagian dari pembangunan Melaka Gateway adalah pelabuhannya yang diramal memenuhi permintaan aktiviti ekonomi di Asia Tenggara bagi tempoh lima tahun akan datang yang dianggarkan bernilai RM500 bilion.

Menerusi pembinaan pelabuhan Melaka Gateway pelabuhan itu dijangkakan berada di barisan hadapan dalam usaha negara memanfaatkan limpahan aktiviti ekonomi di rantau itu.

Menerusinya, lebih 10,000 kapal yang majoritinya dari China dan berada di Selat Melaka akan singgah di pelabuhan berkenaan membabitkan aktiviti isian semula, pembungkusan semula serta kegiatan lain berkaitan pelabuhan pangkalan bekalan kargo untuk semua kapal sepanjang selat itu.

Dalam masa sama katanya, ia tidak akan mengganggu aktiviti pelabuhan Klang, memandangkan setiap pelabuhan mempunyai fungsi tersendiri.

Views:

2451
Kongsi :
Previous post Wanita berusia mangsa ‘scam’
Next post Melaka rekodkan satu kes Kluster Berendam
Ubah saiz-+=