Usahawan PKS jangan bimbang teruskan perniagaan semasa pandemik

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 1 Sept. – Usahawan luar bandar khususnya yang menjalankan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) tidak perlu bimbang menjana pendapatan lebih-lebih lagi selepas pandemik COVID-19.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar berkata, kebanyakan usahawan bimbang dan takut akibat pasaran pasca COVID-19 namun perlu berani memperkasa perniagaan itu.

Jelasnya, pelbagai inisiatif turut disediakan kementerian itu melalui pelbagai platform yang mampu membantu golongan terbabit dalam membangunkan perniagaan luar bandar tersebut.

“KPDNHEP menyediakan pelbagai inisiatif termasuk menyediakan pelbagai geran dan pembiayaan melalui agensi yang berdaftar di bawah KPDNHEP.

“Jadi, mereka kena tampil kepada kami kerana kita ada sediakan pelbagai agensi untuk kita salurkan di mana-mana tempat yang mampu memberi peluang kepada mereka termasuk berpeluang menawarkan perniagaan francais kepada mereka.

“Namun, bagi membangunkan perniagaan ini mereka perlu lahirkan produk-produk yang berkualiti dan bermutu tinggi yang menekankan aspek pelabelan dan pembungkusan yang sempurna,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Norena berkata pelbagai pendekatan lain diambil kementerian itu dalam menggalakkan pengguna membeli barangan buatan Malaysia.

“Pelbagai pendekatan diambil KPDNHEP Melaka dalam menggalakkan kempen ini yang mampu mempromosikan produk-produk barangan Malaysia.

“Malah kerajaan telah memulakan kempen ini sejak 1 Jun lalu sehingga 31 Disember ini dengan melalui pelbagai jualan harga runtuh di pelbagai platform termasuk atas talian.

“Melalui Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia kerajaan menyasarkan lebih RM100 bilion hasil jualan akan dikumpulkan pada hujung tahun nanti,”katanya.

Views:

269
Kongsi :
Previous post Kek merdeka simbolik kemerdekaan ke-63
Next post JPS mulakan kerja bina tembok penahan ombak
Ubah saiz-+=