Utamakan kerja hakiki sebelum bantu calon berkempen – KM

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER MOLEK 6 November – Kerajaan Negeri menasihatkan Exco atau Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri ini supaya mengutamakan tugas hakiki sebelum membantu calon berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata ia berikutan Melaka masih lagi menjadi Kerajaan Negeri dan mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

“Negeri lain biarlah mereka buat (mohon cuti jika mahu berkempen) tetapi di Melaka kita ada tanggungjawab, pertama kita masih lagi bekerajaan.

“Ketika PRU (Pilihan Raya Umum) ini adalah memilih untuk peringkat Persekutuan bagi menyumbang kepada kerusi membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Kita ada tugas dipertanggungjawabkan untuk Kerajaan Negeri, yang telah diberikan mandat portfolio masing-masing jalankan tugas seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak pembinaan Masjid Safinah An Najah di Kampung Tambak Paya di sini, hari ini.

Hadir sama Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Adun Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mashitah Ismail dan lain-lain kenamaan.

Ujarnya, Exco atau Adun perlu bijak membahagikan masa mereka jika ingin membantu calon berkempen pada PRU15.

“Jika ada masa lapang baru turun padang, kena pandai bahagi masa tetapi tugas hakiki adalah yang telah diberikan amanah itu perlu diutamakan.

“Saya yakin Exco dan Adun saya akan membuat kerja-kerja mereka seperti biasa turun ke padang, turun ke lapangan itu tugas biasa.

“Tetapi sebelah malam, kalau mereka ada masa lapang yang luar daripada tugas hakiki, maka terserah kepada mereka untuk bantu dalam kempen pilihan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1592
Kongsi :
Previous post Contohi pemimpin lama walau tidak tercalon, masih setia dan berjuang
Next post Masjid Safinah An Najah mampu tampung lebih 1,600 jemaah – KM
Ubah saiz-+=