Sorting by

×

UTEM CIPTA PERALATAN REHABILITASI BANTU PULIHKAN PESAKIT

Masa Membaca:3 Minit, 2 Saat

DURIAN TUNGGAL 27 Januari – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya melaksanakan program Pemulihan Fisioterapi Dalam Komuniti Melalui Teknologi Rehabilitasi di Serkam, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM terus komited menzahirkan kepakaran dalam bidang teknologi dan kejuruteraan yang dijayakan oleh kumpulan penyelidik secara bersepadu.

Katanya, pembangunan produk inovasi dan penyelidikan itu memberi manfaat langsung kepada golongan komuniti dalam negara, malah turut berpotensi melebar sempadan antarabangsa.

“Usaha penyelidikan yang memberi impak pulangan langsung kepada komuniti sebegini terus digiat dijayakan secara konsisten oleh UTeM termasuklah menerusi program ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Projek Profesor Madya Ir. Dr. Mariam Md Ghazaly berkata, program itu bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan pemulihan fisioterapi untuk komuniti B40 di kawasan setempat dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Serkam.

Inisiatif ini bukan sahaja menyediakan sokongan pemulihan tetapi juga mengukuhkan hubungan UTeM dengan masyarakat setempat dan memastikan kepakaran institusi TVET ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk Negeri Melaka.

Jelasnya, kebanyakan pesakit dalam kalangan ahli komuniti berdepan dengan permasalahan untuk mendapatkan sesi fisioterapi secara bersepadu kerana terdapat beberapa kekangan dalam aspek kewangan, akses dan kesediaan kemudahan fasiliti.

Berteraskan kepada senario ini, maka pihaknya yang terdiri daripada sekumpulan penyelidik telah terpanggil untuk menyumbangkan kepakaran dimiliki membangunkan peralatan fisioterapi berteknologi tinggi bagi membantu golongan yang memerlukan.

“Dengan mengaplikasikan kepakaran kejuruteraan UTeM, beberapa peralatan rehabilitasi berteknologi tinggi telah dibangunkan, termasuk dua alat rehabilitasi kaki yang inovatif untuk mempercepatkan pemulihan pesakit strok, kemalangan atau pembedahan.

“Selain itu, menerusi program ini UTeM turut menyumbang alat rehabilitasi tangan (Hand Rehab) dan pelbagai peralatan sokongan fisioterapi lain yang bertujuan membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Dr. Mariam berkata, projek itu dibiayai menerusi geran Program Komuniti Universiti Awam (Komuniti @Unimadani) Fasa 2, 2024 oleh Kementerian Kewangan Malaysia yang disalurkan melalui Pusat Pengurusan Kolaborasi (RICE) UTeM.

“RICE UTeM turut menjadi penghubung utama antara kumpulan penyelidik UTeM dan pihak komuniti terutamanya golongan sasaran yang menjadi fokus utama keberhasilan program ini dan dana program ini telah disalurkan bermula pada 1 Julai 2024 sehingga 31 Disember 2024 lalu dan telah dimanfaatkan sepenuhnya untuk peralatan rehabilitasi dan demonstrasi kepada komuniti,” ujarnya.

Mengulas pelaksanaan program katanya, kemuncak program itu telah berlangsung baru-baru ini yang diadakan di Balai Raya Pulai 1, Kampung Pulai, Merlimau, Melaka, yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

“Antara pengisian utama adalah demonstrasi teknologi peralatan rehabilitasi kaki yang telah dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UTeM iaitu Wearable Assistive Lower Limb Exoskeleton (WALLEs) serta Assistive Lower Limb Chair (ALLC) dan demonstrasi sarung tangan automatik pemulihan tangan juga turut dijalankan.

“Menerusi program ini seramai 40 orang pesakit di kawasan ini telah menikmati kemudahan peralatan fisioterapi ini dan membawa harapan baharu kepada mereka menikmati proses pemulihan ini,” ujarnya.

Projek tersebut melibatkan gabungan kepakaran daripada pelbagai fakulti bagi aspek pembangunan peralatan rehabilitasi agar memenuhi piawaian kejuruteraan dan keperluan terapi, antaranya Ir. Dr. Nurdiana Nordin@ Musa, Ir. Dr. Norafizah Abas, Dr. Norhaslinda Hasim, Ts. Dr. Aliza Che Amran dan En. Norhisham Abu Seman dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik (FTKE), juga Ts. Dr. Norharyati Harum dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Turut terlibat, Prof. Madya Dr. Mohd Juzaila Abd. Latif dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM); Ts. Dr. Zulkeflee Abdullah dan Dr. Isa Halim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri & Pembuatan (FTKIP), dan Norasmara Mahmud dari RICE.

Program tersebut turut mendapat sokongan rakan strategik seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pulai Melaka, Pertubuhan Keselamatan Sosial Melaka (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka (JKM), Jabatan Belia dan Sukan Melaka (JBS), Jabatan Kesihatan Malaysia Melaka (JKNM), Hospital Putra Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

175
Kongsi :
Previous post MELAKA KEKAL KETETAPAN MINUMAN KERAS DIJUAL DI PETI AIS BERASINGAN
Next post NILAI KERUGIAN AKIBAT KEBAKARAN DI MELAKA MENURUN