
MELAKA KEKAL KETETAPAN MINUMAN KERAS DIJUAL DI PETI AIS BERASINGAN
AYER KEROH 27 Januari – Melaka tiada isu dalam mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, mengambil kira sensitiviti umat Islam, pihaknya telah mengeluarkan garis panduan jelas kepada penjual.
Katanya, antara syarat utama penjualan arak di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Melaka adalah ia mesti diasingkan peti ais, di mana semua telah sedia maklum dan tiada isu berbangkit berhubung ketetapan itu.
“Di Melaka antara syarat utama di peringkat PBT Negeri Melaka ini adalah mesti diasingkan peti sejuk antara minuman keras yang dijual dan tidak boleh sama peti sejuk dengan air yang lain. Tidak boleh bercampur sekali. Itu satu antara contoh yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Melaka.
“Jadi kita telah lalui fasa ini di peringkat Kerajaan Negeri, di mana kita faham Melaka adalah sebuah negeri pelancongan dan dalam masa yang sama kita juga tahu sensitiviti untuk masyarakat, terutamanya umat Islam.
“Alhamdulillah, di Melaka setakat ini kita tidak mempunyai apa-apa masalah dan semua masih dalam kawalan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Op Siaga Raya Bomba Sempena Tahun Baharu Cina 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Peringkat Negeri Melaka di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JBPM Melaka Penolong Persuruhjaya Bomba (PPjB) Mohd Pisar Aziz serta kenamaan lain.
Semalam, media melaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengeluarkan kenyataan mahu setiap PBT mengekalkan status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.
Ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum, selain mengelak dijadikan sentimen politik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.