UTeM tawar dua biasiswa baharu

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Julai – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan Biasiswa Kesidang dan Biasiswa Sulung 2.0 kepada pelajar bercadang melanjutkan pengajian di institusi itu.

Naib Canselor UTeM, Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, ia merupakan berita baik dinantikan pelajar menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).

Menurutnya, Biasiswa Kesidang adalah pertama kali ditawarkan dan ianya terbuka kepada pelajar tempatan atau antarabangsa yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dan PhD sepenuh masa di UTeM.

“Biasiswa ini memberi kemudahan pembiayaan pengajian untuk pelajar pascasiswazah mengikuti program Mod Penyelidikan (PhD dan Sarjana secara Penyelidikan) dan Program Mod Kerja Kursus (Sarjana secara Kerja Kursus).

“Antara kriteria pemohon mestilah memenuhi syarat ditetapkan seperti menerima tawaran pengajian atau berdaftar sebagai pelajar pascasiswazah sepenuh masa dan mencapai CGPA 3.50 ke atas pada peringkat Ijazah Sarjana Muda.

“UTeM terus menzahirkan inisiatif tinggi membantu menyediakan kemudahan pembiayaan kepada para pelajar agar dapat menikmati pengajian komprehensif dengan selesa di sini,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, antara syarat lain diberikan keutamaan kepada pemohon dalam kategori pendapatan isi rumah bawah RM5,000 dan tidak menerima sebarang pembiayaan lain berkaitan pengajian.

“Pada masa sama, calon juga wajib lulus temu duga yang ditetapkan, manakala bagi calon antarabangsa pula keutamaan diberikan kepada mereka dari negara yang sedang bergolak,” katanya.

Menyentuh mengenai Biasiswa Sulung 2.0 pula, Massila berkata, UTeM turut menawarkan kemudahan pembiayaan ini kepada pemohon dalam kalangan pelajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Biasiswa ini terbuka bagi semua bidang pengajian Ijazah Sarjana Muda yang diikuti pemohon dan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada golongan B40.

“Terdapat beberapa lagi kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi pelajar sebelum dipilih pihak Unit Pusat Universiti (UPU) dalam kalangan pelajar baharu dan pemilihan dalaman Universiti dalam kalangan pelajar kanan.

“Biasiswa Sulung bermula pada sesi pengambilan pelajar baharu tahun 2023/2024 bulan Oktober nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2721
Kongsi :
Previous post Perjelas status kontrak khas guru KAFA JAIM
Next post Melaka sasar kemalangan tempat kerja menurun
Ubah saiz-+=