Melaka sasar kemalangan tempat kerja menurun

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PENGKALAN BATU 12 Julai – Jumlah kemalangan di tempat kerja di Negeri Melaka tahun ini disasarkan lebih rendah berbanding 2022 kata, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Hee Sem berkata, setakat Jun, jumlah keseluruhan kemalangan di tempat kerja dicatatkan adalah sebanyak 214 kes berbanding 380 tahun sebelumnya.

Katanya, sektor pembuatan merekodkan jumlah kes kemalangan tempat kerja paling tinggi diikuti pembuatan dan pembinaan.

“Daripada keseluruhan kes dilaporkan setakat Jun lalu, empat membabitkan hilang upaya kekal dan satu kematian, sementara itu baki 209 pula bukan hilang upaya kekal.

“Manakala sepanjang tahun lalu, dua kes kemalangan di tempat kerja membabitkan kematian, lapan lagi menyebabkan hilang upaya kekal,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia Tahun 2023 Peringkat Negeri Melaka di sebuah kilang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Melaka, Supian Alias dan Pengarah Urusan Infineon Technologies (M) Sdn. Bhd. Eng Seng Meng.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata statistik laporan tahun ini disasarkan akan terus menunjukkan penurunan berdasarkan kepada kesedaran tinggi dalam kalangan pekerja terhadap aspek menjaga prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja.

“Kita harapkan dengan penganjuran Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan disambut setiap tahun, meningkatkan lagi kesedaran kepada pekerja dan mengamalkan suasana bekerja dalam keadaan yang selamat serta kondusif,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1489
Kongsi :
Previous post UTeM tawar dua biasiswa baharu
Next post ‘Reunion’ Persatuan Guru Kebangsaan
Ubah saiz-+=