UTeM terima 2,089 pelajar baharu program sarjana muda Sesi 2021/2022

0
343
UTEM menerima pendaftaran 2,089 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda kemasukan Sesi 2021/2022 secara dalam talian, baru-baru ini.

DURIAN TUNGGAL 29. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima pendaftaran 2,089 pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda kemasukan Sesi 2021/2022 secara dalam talian, baru-baru ini.

Berikutan musim pandemik, proses pendaftaran masuk pelajar baharu dilaksanakan menerusi sistem dengan mengaktifkan pelajar secara dalam talian bermula 27 September lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Prof Ir Dr. Ghazali Omar berkata, UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda.

Katanya, kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi serta kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi dan mampan menjadi buruan majikan dunia, menjadikan UTeM destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai.

“Kemasukan kali ini mencatatkan 704 pelajar mendaftar bagi pengajian program teknologi kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan.

“Seramai 631 pelajar pula mendaftar bagi pengajian dalam bidang kejuruteraan di empat fakulti kejuruteraan di UTeM iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer,  Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Fakulti Kejuruteraan Pembuatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi program lain merekodkan pendaftaran sebanyak 401 pelajar bagi Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi diikuti 353 pelajar bagi Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan.

Katanya, Minggu Haluan Siswa (MHS) mahasiswa baharu ini akan mengikuti secara dalam talian bermula 30 September hingga 2 Oktober ini.

“Mereka akan bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di sini pada awal Ogos lalu.

“Sesi perkuliahan bagi mahasiswa baharu program sarjana muda ini akan bermula pada 4 Oktober nanti.

“Keputusan rayuan kemasukan oleh pihak Unit Pusat Universiti (UPU), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dijangka pada pertengahan Oktober nanti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.