Vaksin COVID-19: KPWKM nafi abaikan warga emas di pusat jagaan

0
568
RINA (kanan) diiringi ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (dua dari kanan) menyantuni warga emas yang menerima vaksin ketika hadir lawatan kerja pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Rumah Seri Kenangan Cheng, Taman Cheng Perdana. Foto: MR. Azli

PAYA RUMPUT 25 Mei – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya warga emas khususnya di pusat jagaan tidak diberi keutamaan sewajarnya dalam mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Haron berkata, pihaknya bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) COVID-19 sentiasa memberi tumpuan khusus kepada warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurutnya, setakat ini, seramai 652 orang penghuni warga emas di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekurang-kurangnya mendapat suntikan dos pertama vaksin berkenaan.

MENTERI KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun. Foto MR Azli.

“Saya menafikan dakwaan itu (warga emas diketepikan) kerana di pihak kami, saya dimaklumkan daripada kira-kira 1.8 juta warga emas yang berdaftar, sebanyak 693,000 orang sudah pun selesai menerima suntikan vaksin dos pertama. Manakala, 180,000 orang telah selesai mengambil kedua-dua dos.

“Kita di peringkat kementerian akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempergiat usaha menggalakkan mereka mengambil vaksin.

“Malah, kita ada sukarelawan yang akan menggerakkannya vaksin secara mobile,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Rumah Seri Kenangan, Cheng.

KHALEED Musa, 74, menerima suntikan vaksin pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Rumah Seri Kenangan Cheng, Taman Cheng Perdana. Foto: MR. Azli

Mengulas lanjut, Rina turut memaklumkan pihaknya termasuk petugas kesihatan akan menyemak segala maklumat secara terperinci yang menjadi faktor kepada ketidakhadiran warga emas yang berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Jelasnya, ia sekali gus dapat menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat mengenai kepentingan mengambil vaksin berkenaan khususnya kepada warga emas di negara ini.

“Berkenaan isu yang berlaku di Kelantan,¬†saya rasa di sini peranan kita untuk menyemak faktor yang menyebabkan mereka tidak hadir, adakah mereka mempunyai urusan tak dapat dielakkan atau mereka sememangnya menolak vaksin.

“Jadi, kita tidak akan putus asa untuk menggerakkan usaha menjayakan program PICK ini termasuk menggalakkan penduduk di luar bandar berdaftar. Peranan semua pihak seperti ketua kampung dan pemimpin masyarakat di setiap kawasan juga amat digalakkan,” katanya.

Beliau diminta mengulas laporan media bahawa hampir 10,000 penduduk di Kelantan dengan sebahagian besar berusia 60 tahun ke atas dikesan gagal hadir menerima suntikan vaksin sehingga Sabtu lalu.

Dalam program di Rumah Seri Kenangan, seramai 162 orang penghuni warga emas di pusat penjagaan tersebut telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.