Enam mangsa tragedi pertembungan LRT kritikal

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

KUALA LUMPUR: Seramai enam penumpang yang terbabit dalam kemalangan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Maklumat itu dikongsikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

Menurutnya tiga daripada mangsa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.

“15 penumpang lagi berada dalam keadaan separa kritikal manakala 43 orang lagi tidak kritikal,” katanya.

Dalam pada itu Annuar meminta semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden perlanggaran dua tren LRT itu dan menunggu sehingga siasatan lengkap dilakukan pihak berkuasa.

“Orang ramai adalah diminta tidak membuat rumusan sendiri tentang punca kemalangan LRT malam tadi supaya tidak mengganggu penyiasatan yang sedang dilakukan pihak berwajib,khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PRASARANA (Prasarana Malaysia Berhad).

“Segala usaha sedang dibuat oleh PRASARANA untuk mempastikan perkhidmatan LRT pulih,” katanya yang mahu insiden itu disiasat dengan terperinci puncanya dan meneliti jika berlaku kecuaian terutama di menara kawalan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertindak pantas membantu mangsa kemalangan itu termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, PDRM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

“…Dalam tempoh satu jam semua mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke hospital. Terima kasih semua,” katanya lagi.

Dalam kejadian 8.33 malam itu, seramai 47 penumpang cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan itu.

Mangsa dibantu pasukan penyelamat dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

568
Kongsi :
Previous post MySejahtera pantau had dua jam pelanggan di premis peruncitan
Next post Vaksin COVID-19: KPWKM nafi abaikan warga emas di pusat jagaan
Ubah saiz-+=