Vaksin pneumokokal: Buat temujanji sebelum ke klinik – Exco Kesihatan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 1 Dis. – Golongan ibu bapa kini boleh mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal konjugat  (PCV) bagi anak mereka yang lahir pada tahun ini, di kesemua 31 klinik kesihatan dan 59 klinik desa di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, ibu bapa bagaimanapun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bermula hari ini sama ada melalui panggilan telefon atau langkah-langkah lain.

“Vaksin PCV di bawah program imunisasi kebangsaan akan bermula hari ini iaitu 1 Disember yang mana vaksin itu akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada umur 4 dan 6 bulan, diikuti satu dos penggalak atau ‘booster’ ketika umur 15 bulan.

“Ini untuk bayi yang lahir 1 Januari 2020 dan seterusnya yang mana mereka layak untuk menerima suntikan vaksin ini di klinik kesihatan atau klinik desa berhampiran.

“Bagaimanapun, ibu bapa perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha mencegah COVID-19,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia peringkat Negeri Melaka di Klinik Kesihatan Jalan Gereja, di sini.

Mengulas lanjut, beliau menyeru kesemua ibu bapa yang mempunyai bayi lahir pada tahun ini untuk mendapatkan suntikan berkenaan yang terbukti penting kepada kanak-kanak bagi membendung penyakit-penyakit tertentu.

“Vaksin ini diberi untuk mencegah penyakit seperti radang paru-paru, radang sinus, jangkitan telinga tengah, radang selaput otak dan saraf tunjang serta jangkitan bakteria dalam darah yang boleh memberi komplikasi seperti cacat pendengaran, kecacatan otak atau kematian.

“Jadi, saya menyeru kepada orang ramai yang mempunyai anak kecil untuk datang ke klinik bagi mendapatkan vaksin ini.

”Ia adalah untuk masa depan anak-anak dan jangan abaikan mereka dalam usaha memastikan mereka tidak terdedah kepada penyakit-penyakit yang sebutkan tadi,” katanya lagi.

Views:

893
Kongsi :
Previous post Mohd Rani dilantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu KTMB
Next post MPHTJ bantu peniaga terkesan COVID-19
Ubah saiz-+=