MPHTJ bantu peniaga terkesan COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 1 Dis. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) memberi peluang kepada lebih 20 peniaga untuk berniaga secara percuma di kompleks beli-belah Melaka Mall, di sini.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman berkata, usaha itu bagi membantu masyarakat khususnya peniaga yang terkesan sepanjang penularan pandemik COVID-19.

“Kita dah mulakan pertengahan November lalu, pada hari biasa ada dalam lima hingga 10 peniaga saja, tetapi hujung minggu lebih 20 peniaga.

“MPHTJ bagi percuma pada mereka yang nak berniaga, mereka hanya perlu bayar lesen dan ambil suntikan tifoid untuk pengesahan kesihatan mereka,” katanya ketika dihubungi MHI.

Katanya, selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan di negeri ini, kehadiran pengunjung ke tapak perniagaan semakin memberangsangkan.

“Setakat ini hujung minggu sambutan sangat ramai, tetapi bergantung juga kepada musim.

“Bila PKPB dan tamat memang ada sedikit pertambahan berbanding sebelum ini,” katanya.

Shadan berkata, pihaknya bagaimanapun cuba untuk membantu mereka yang terkesan dari sumber pendapatan termasuk dibuang kerja semasa pandemik COVID-19.

“Jika mereka ingin niaga mesti kena ambil lesen, tetapi kita akan permudahkan urusan mereka selagi ia mematuhi syarat ditetapkan,” katanya lagi.

MPHTJ baru-baru ini menawarkan tapak untuk berniaga secara percuma di Melaka Mall melibatkan kawasan tapak promosi meliputi ruang legar (berhadapan premis perniagaan Parkson) hinggalah ke luar tapak bangunan iaitu di kaki lima.

Views:

1505
Kongsi :
Previous post Vaksin pneumokokal: Buat temujanji sebelum ke klinik – Exco Kesihatan
Next post SPRM kesan individu bantu kes salah guna cap sempadan
Ubah saiz-+=