Vaksinasi kanak-kanak hanya 30 peratus, masa ‘tunggu dan lihat’ sudah tamat

Masa Membaca:3 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Hanya satu juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah divaksin daripada 1.63 juta janji temu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dihantar setakat 3 Feb lepas, demikian menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata baki iaitu lebih 600,000 individu yang telah mendaftar dan menerima tarikh janji temu, gagal mendapatkan vaksin berkenaan.

“Vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak lima hingga 11 tahun baru mencecah 30 peratus, dengan keadaan kes yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak, kita melihat kemasukan ke hospital meningkat, di samping kita melihat kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) meningkat.

“Ibu bapa masih lagi tidak buat pilihan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak mereka melalui vaksinasi kanak-kanak (PICKids). Saya rasa masa untuk tunggu dan lihat dah tamat…kita melihat vaksinasi ini selamat dan memberi perlindungan daripada gejala yang paling serius,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata kanak-kanak lebih berisiko tinggi untuk dijangkiti varian Omicron berbanding varian sebelum ini, memandangkan kumpulan itu amat terdedah dan belum mendapat perlindungan sewajarnya, berbanding kumpulan dewasa yang telah divaksin.

Beliau berkata lebih berisiko adalah kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kumpulan kanak-kanak berisiko tinggi (‘immunocompromised’) seperti mempunyai penyakit paru-paru kronik, penyakit jantung, lemah sistem imun badan, kanser, asma dan obesiti.

“Varian Omicron juga akan menyebabkan keadaan penyakit sedia ada menjadi lebih teruk. Sebagai contoh, pesakit mempunyai asma akan mengalami semput yang teruk walaupun kategori jangkitan COVID-19 adalah rendah,” katanya.

Khairy berkata jumlah keseluruhan kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun yang dijangkiti COVID-19 menunjukkan peningkatan iaitu 7,730 pada 2020 kepada 379,245 pada 2021.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pesakit kanak-kanak di bawah 12 tahun yang dijangkiti COVID-19 tahun ini bagi tempoh Januari hingga pertengahan Mac adalah seramai 119,719 orang.

Mengenai kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU, beliau berkata ia meningkat sebanyak 94 peratus untuk semua kategori tiga hingga lima dengan peningkatan ketara kategori empat adalah sebanyak 200 peratus dan kategori lima, 125 peratus.

Mengenai ‘Multi System Inflammatory Syndrome in Children’ (MIS-C), Khairy berkata bagi tempoh Jun 2020 hingga Disember 2021, seramai 174 kanak-kanak bawah 18 tahun telah mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19.

Beliau berkata sehingga kini, tujuh kes atau empat peratus kematian kanak-kanak direkodkan berpunca daripada MIS-C.

MIS-C adalah keadaan kritikal yang boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak akibat jangkitan COVID-19 dan mengalami keradangan pada organ dalaman terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan siasatan kes ke atas punca kematian remaja lelaki N. Revnesh Kumar, Khairy berkata kajian kes panel pakar forensik telah dijalankan semalam (8 Mac) di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang.

Panel yang terdiri daripada pakar forensik termasuk Ketua Perkhidmatan Forensik Datuk Dr Zahari Noor dan Pakar Perunding Forensik dan Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Dr Mohd Suhani Mohd Nor itu telah mengkaji dan mengkaji semula kes disediakan Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Emizam Mohamadon.

“Mereka telah keluarkan ‘consensus opinion’ dan pada 2.30 petang laporan ini akan diserahkan kepada ibu bapa Revnesh Kumar,” katanya.

Pada 26 Feb lepas, portal media melaporkan ibu bapa kepada remaja yang meninggal dunia beberapa minggu selepas divaksin, menyeru pihak berkaitan menjelaskan punca kematian anak tunggal mereka.

Remaja berumur 13 tahun itu menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya pada 30 Dis tahun lepas, dan dijadual menerima dos kedua vaksin pada 20 Jan.

Remaja berkenaan dikatakan tiba-tiba rebah di dalam lif blok perumahannya pada 16 Jan untuk menghadiri kelas karate, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

797
Kongsi :
Previous post Kejayaan dikecapi Felda hasil perjuangan BN – Ismail Sabri
Next post Lima disyaki terlibat sindiket PLKS, penggubahan wang haram ditahan
Ubah saiz-+=