Veteran TLDM terharu terima kunjungan rakan

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

RIM 26 Sept. “Dengan keadaan saya sebegini sudah pasti amat terharu apabila menerima kunjungan dari rakan- rakan.

“Walaupun dalam masa yang singkat sekurang-kurangnya dapat berkongsi cerita lama dan bertanya khabar,” itu kata pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Abdul Rahman Samad, 74.

Menurut Abdul Rahman, selepas kehilangan kaki kirinya pada 2018 pergerakannya terbatas dan hanya menanti kehadiran rakan-rakan menziarahinya di rumah.

Dia yang sebelum ini berkhidmat selama 22 tahun dalam TLDM berkata, meskipun sudah pencen, namun melalui kunjungan sebegini hubungan silaturahim sesama rakan seperjuangan dulu masih utuh terjalin.

“Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi datang dan menyampaikan sumbangan untuk saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui selepas kunjungan Ahli Persatuan Veteran TLDM Melaka, di rumahnya di Chohong, Jasin.

Bagi Rosmaini Hussin, 59, pula berkata, pihak persatuan amat prihatin dalam soal membabitkan kebajikan ahlinya.

“Alhamdulillah pihak persatuan sentiasa menjalankan tanggungjawab dalam membantu ahli dengan menyampaikan sumbangan seperti keperluan barangan harian.

“Selain sumbangan bulan Ramadhan dan hari raya, persatuan turut turun padang menyampaikan sumbangan kepada ahli yang terjejas ketika pandemik Covid-19,” katanya yang menghidap strok sebelah badan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran TLDM Melaka Abu Bakar Jamal berkata, setiap tahun pihaknya memperuntukkan kira- kira RM5,000 untuk membantu ahli yang memerlukan serta agihan sumbangan barangan keperluan.

“Kita bukan hanya turun padang menyampaikan sumbangan kepada veteran atau pesara TLDM malah ia turut membabitkan balu pesara.

“Sekiranya jumlah peruntukan diterima banyak, maka jumlah sumbangan dan bantuan yang disampaikan kepada pesara atau veteran juga akan ditambah,” katanya.

Terdahulu, dalam program ziarah kasih diadakan hari ini, seramai 10 orang veteran TLDM di Daerah Jasin menerima kunjungan Persatuan Veteran TLDM Melaka.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Sulaiman terima gelaran Doktor Falsafah Kehormat
Next post Ijazah Kehormat Doktor Falsafah penghargaan buat rakyat bina Melaka 
Ubah saiz-+=