Ijazah Kehormat Doktor Falsafah penghargaan buat rakyat bina Melaka 

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SHAH ALAM 26 Sept – “Penganugerahan ini bukan pengiktirafan kepada saya seorang sebaliknya penghargaan kepada pihak yang banyak membantu di sebalik aspirasi untuk membina Melaka,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali ketika berucap selepas menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan daripada Lincoln University College (LUC), di sini petang tadi.

Beliau berkata pengiktirafan itu turut didedikasikan kepada jentera pentadbiran kerajaan negeri, anggota barisan hadapan serta rakyat yang semuanya berperanan menghadapi wabak COVID-19, yang memberi kesan kepada seluruh negara.

SULAIMAN ketika berucap selepas menerima penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat pada Majlis Konvokesyen LUC 2020 di Hotel Holiday Inn, Glenmarie, petang tadi.

“Menyedari betapa pentingnya untuk mengekalkan ikatan antara pemerintah dan rakyat, saya berusaha untuk melaksanakan begitu banyak inisiatif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang ramai, segera setelah menjawat jawatan Ketua Menteri yang baru pada 9 Mac 2020.

“Bukan tugas mudah kerana saya harus menghadapi tiga cabaran besar iaitu krisis kesihatan, politik dan ekonomi, semuanya pada waktu sama, yang mana bagi saya belum pernah terjadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan negeri bekerja keras untuk memastikan rakyat diberi pendedahan mengenai norma baharu dalam mengekang penularan wabak itu dengan hashtag #MelakaMestiMenangCOVID19.

“Hasilnya, Melaka merekodkan tahap pematuhan tertinggi terhadap Perintah Kawalan Wajib pada 98 peratus, menjadikan Melaka antara tiga negeri terbaik di Malaysia.

“Pada masa sama, saya juga berdepan dengan masalah air, yang mendorong kerajaan negeri untuk melaksanakan catuan air di beberapa daerah dan saya masih ingat bekerja dalam tempoh masa yang panjang untuk menangani isu itu.

“Dalam tempoh tujuh bulan saya diberi kepercayaan mentadbir negeri, saya telah merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memacu pemulihan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri,” katanya.

Justeru jelasnya, penganugerahan doktor kehormat itu menyuntik inspirasi kepadanya dan seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mengembalikan kegemilangan Melaka yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

Views:

370
Kongsi :
Previous post Veteran TLDM terharu terima kunjungan rakan
Next post COVID-19: Melaka catat satu kes baharu
Ubah saiz-+=