Wad isolasi di Hospital Melaka
MERLIMAU 29 Ogos – Hospital Melaka bakal dilengkapi kemudahan wad isolasi khusus untuk merawat mana-mana individu menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19.
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata pembinaan wad dilengkapi 50 katil itu membabitkan kos RM1.3 juta.
“Kita sudah mendapat kelulusan daripada Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) yang bekerjasama dengan Hospital Melaka untuk pembinaan wad khusus ini.
“Peruntukan sudah ada RM1 juta, cuma sekarang kita perlu cari RM300,000 lagi dan kita jangka hujung tahun ini sasaran peruntukan itu mampu dicapai.
“Wad sementara ini terletak di kawasan parkir bersebelahan lobi Hospital Melaka, mana-mana pesakit suspek COVID-19 mereka boleh datang terus tanpa perlu ke wad kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai ‘One Stop Parking Centre’ di Kompleks Japerun Merlimau, di sini, hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, pembinaan wad isolasi itu sebagai langkah pencegahan bagi penyakit berjangkit supaya tidak merebak kepada pesakit lain datang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
“Wad ini seperti jabatan kecemasan tetapi khusus untuk penyakit berjangkit, sebab itu kita harap pembinaan wad ini dapat diselesaikan pada tahun ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.