Wanita disaran rebut pahala berganda sepanjang Ramadan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

TANJUNG BIDARA 12 April – Ramadan al-Mubarak menyediakan peluang untuk wanita merebut peluang pahala mudah dan berganda.

Contohnya, isteri yang menyediakan pakaian lengkap untuk suami dan anak sebelum mereka ke masjid menunaikan solat fardu dan sunat Tarawih, diberikan ganjaran pahala sama seperti yang diperoleh suami dan anak, malah digandakan sepanjang Ramadan.

Begitu juga dengan wanita yang memasak juadah berbuka puasa dan sahur dengan ikhlas semata-mata kerana Allah akan diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Menjelaskannya, penceramah dari Kor Agama Angkatan Tentera, Kem Terendak, Sungai Udang Marina Osman berkata, segala ganjaran itu digandakan berikutan Ramadan al-Mubarak adalah bulan paling mulia yang disediakan pahala lebih tinggi berbanding bulan lain.

“Pahala kita menyediakan pakaian untuk anggota keluarga kita yang ke masjid sama seperti pahala mereka beribadat,” katanya ketika berceramah kepada 200 ahli Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah pada program Persediaan Menuju Ramadan di sebuah resort di Pantai Padang Kemunting, di sini hari ini.

MAS Ermieyati menyampaikan sumbangan kepada ahli Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah pada program Persediaan Menuju Ramadan di resort Pantai Padang Kemunting, Masjid Tanah hari ini.

Ia dirasmikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin. Turut hadir, Pengerusi pertubuhan itu, Norizan Hashim dan Timbalan Pengerusi, Noorusa’adah Ramli.

Sementara itu, ketika berucap, Mas Ermieyati meminta lebih ramai wanita terbabit dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah bagi membantu memajukan golongan berkenaan.

“Saya bimbang gejala sosial yang membabitkan wanita dan anak gadis kita sekarang dan usaha untuk mengurangkannya bukan hanya terletak pada bahu kerajaan.

“Saya sendiri tidak mampu untuk menjalankan terlalu banyak aktiviti kemasyarakatan yang ada kaitan dengan wanita dan terpaksa bergantung harapan kepada NGO berkaitan wanita untuk membantu saya,” katanya.

NORIZAN…Pertubuhan GerakNissa Masjid Tanah memajukan sosioekonomi wanita, terutama dalam bidang PKS.

Norizan berkata, NGO terbabit ditubuhkan beberapa bulan lalu dengan objektif utamanya memajukan sosioekonomi wanita, terutama dalam bidang perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kami menggalakkan lebih ramai wanita memajukan PKS dan bersedia membantu mereka mendapatkan pinjaman daripada pelbagai agensi kerajaan.

“Kami juga membuat kerja sosial, terutama membantu wanita yang uzur dan sakit serta anggota keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kebanyakan program pertubuhan itu digerakkan melalui dana sumbangan ahli dan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti masa depan, ia berusaha mendapatkan sumbangan pelbagai pihak.

Mereka yang ingin menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutama membantu golongan memerlukan ketika Ramadan boleh menghubungi Norizan (019-2590951) atau Noorusa’adah (01113179001)

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post Daging segar jadi rebutan menjelang 1 Ramadan
Next post Kerajaan negeri disaran itu SOP Kerajaan Persekutuan
Ubah saiz-+=