Wanita Melaka laksana pelbagai program sepanjang Ramadan – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 23 April – Atas dasar mahu memperkasakan ekonomi asnaf dan membantu mereka kurang berkemampuan, persatuan wanita di negeri ini menganjurkan pelbagai program yang memberi faedah kepada golongan itu.

EXCO Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata menerusi Program Jom Buat Kuih Raya seramai 150 peserta memperoleh ilmu mengenai cara pembuatan kuih.

“Program berlangsung dari 11 April hingga 28 April dijalankan menerusi 10 sesi. Peserta diajar teknik menyediakan dua jenis kuih, mereka juga menerima sijil kemahiran daripada Kolej Komuniti.

“Program ini merupakan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan idea daripada Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Noraini Ahmad,” katanya ketika berucap pada Program Riang Ria Raya di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Hadir sama pada program itu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya berkata program Riang Ria Raya bertujuan menyantuni golongan kurang berkemampuan.

“Seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, wanita UMNOmelaksanakan program memasak dan mengedar bubur kacang bersama golongan mualaf dan ibu tunggal.

“DUN Bukit Katil pulak wanitanya melaksanakan program khatam al-Quran dan DUN Ayer Molek, menjalankan aktiviti memasak bubur cha cha bersama anak-anak yatim,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

872
Kongsi :
Previous post Wanita, tunang ditahan kes tipu jual beli kucing RM11,000 di Facebook
Next post Tiga remaja maut berlumba, polis minta ibu bapa pantau anak-anak
Ubah saiz-+=