Sorting by

×

Warga emas meninggal sebelum ke klinik untuk rawatan

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MERLIMAU 17 Januari – Seorang lelaki warga emas tidak sempat mendapatkan rawatan kesihatan berkala, selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dalam kejadian di Kampung Serkam Darat, di sini, pagi tadi.

Warga emas terbabit Dol Samad Abu, 64, disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena serangan jantung ketika menunggu bas untuk ke Klinik Kesihatan (KK) Serkam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 7.45 pagi sebelum Ketua Balai Polis Merlimau bersama anggota ke lokasi kejadian.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila warga emas itu yang sedang menunggu bas terkena serangan jantung dan penduduk yang kebetulan melalui lokasi ternampak keadaan arwah yang terbaring.

“Semasa kejadian dia memang hendak ke klinik malah pemeriksaan didalam begnya menjumpai pelbagai jenis ubat serta buku rawatan,” katanya.

Menurutnya, selain menghidap penyakit jantung, warga emas itu turut beberapa penyakit lain termasuk asthma serta gout.

Katanya, semakan buku rawatannya mendapati mangsa kerap mendapatkan rawatan susulan penyakit dihidapinya dan dia tinggal bersama adiknya.

“Pemeriksaan yang dijalankan oleh pegawai perubatan kemudian mengesahkan dia meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Fadzli berkata, pemeriksaan keatas tubuh badan arwah tidak menemui sebarang unsur jenayah dan dia meninggal disebabkan penyakit dihidapinya.

“Kita mendapati tiada sebarang kesan kena pukul atau menjumpai darah malah ahli keluarga terdekat juga mengesahkan arwah mempunyai sakit jantung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5159
Kongsi :
Previous post Wang bantuan awal persekolahan hilang: Wujud pelanggaran SOP kewangan – Fadhlina
Next post Prosiding bela diri Siti Bainun: Dua lagi peguam tarik diri
Ubah saiz-+=