WARGA EMAS TAK PERNAH JEMU SAKSI PERARAKAN MAULIDUR RASUL

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BUKIT BARU 16 September – Biarpun hujan lebat membasahi bumi Melaka, namun ia sama sekali tidak mematahkan semangat Che Inchum Mat, 67, untuk menyaksikan perarakan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka.

Malah, warga emas itu turut membawa kerusi ‘healing’ (kerusi lipat) untuk menyaksikan perarakan tersebut yang diketuai Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Kesungguhan Che Inchum itu adalah kerana dia mahu kekal memperingati Hari Keputeraan Baginda Rasul Junjungan Nabi Muhammad SAW pada tanggal 12 Rabiulawal.

Tiba seawal jam 9 pagi, Che Inchum berkata, setiap tahun dia akan datang di dataran tersebut bersama anak-anaknya untuk melihat sambutan itu.

“Atas faktor usia saya terpaksa bawa kerusi ‘healing’ ini untuk melihat perarakan Maulidur Rasul, alhamdulillah ada rezeki tahun ini apabila anak-anak bawa saya datang ke sini.

“Pagi tadi terfikir juga sama ada mahu pergi atau tidak kerana hujan lebat, tapi semangat saya tetap kuat untuk datang menyaksikan perarakan.

“Ditambah pula perarakan adalah hobi saya sejak muda lagi, dulu saya aktif menyertai perarakan Maulidur Rasul seperti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Che Inchum sambutan itu secara tidak langsung membuktikan kesatuan hati umat islam di bumi bersejarah ini.

“Alhamdulillah makcik seronok sangat dapat datang lihat perarakan Maulidur Rasul, ini bukti umat Islam benar cintakan Baginda Rasulullah SAW,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post LAYANG-LAYANG BENTUK ‘KUDA PUTIH’ CURI PERHATIAN
Next post WAU PUNGGUK BERLAGU PERSIS GESEKAN BIOLA
Ubah saiz-+=