Sorting by

×

WRUR AYER KEROH: RAKYAT TERUJA, YAKIN DAPAT PELBAGAI MANFAAT

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 27 April – Pelaksanaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh yang berlangsung pada 26 April hingga 2 Mei ini dilihat berfungsi sebagai medium merapatkan jurang antara komuniti setempat dan pemimpin.

Tinjauan Melaka Hari Ini mendapati rata-rata penduduk yang hadir menyambut baik penganjuran program turun padang itu yang disifatkan mampu mengukuhkan hubungan dua hala antara rakyat dan pemimpin, di samping memastikan setiap isu komuniti dapat ditangani dengan lebih efektif.

Menurut penduduk Kampung Baru Ayer Keroh, Kenny Lee, 66, program seumpama itu mencerminkan keperluan menghubungkan masyarakat dengan pemimpin tempatan secara lebih dekat dan berkesan.

“Program WRUR ini saya lihat sangat bagus kerana memberi peluang kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan secara terus tanpa sebarang perantara dan karenah birokrasi selain mendekatkan penduduk dengan pemimpin.

“Selalunya kita hanya dengar tentang dasar atau bantuan melalui media, tetapi dengan program ini kita dapat berjumpa sendiri dengan wakil rakyat. Ini memudahkan kita berkongsi masalah dan cadangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Ayer Keroh di Dataran MADANI Taman Ayer Keroh Heights, di sini, pada Ahad.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Nada sama turut disuarakan seorang lagi penduduk DUN Ayer Keroh, Norhayati Abdul Rahman, 69, yang menyatakan bahawa inisiatif program tersebut membantu meningkatkan kefahaman rakyat terhadap fungsi dan peranan setiap agensi dan jabatan Kerajaan Negeri.

“Program ini sangat bagus kerana ada pelbagai pengisian seperti Jualan Rahmah MADANI, permainan sukan rakyat, malah kaunter-kaunter bergerak kerajaan juga dibuka, memang sangat bermanfaat.

“WRUR ini bukan sahaja mendekatkan komuniti dengan pemimpin, tetapi juga membuka ruang untuk kita faham usaha yang sedang dilakukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

193
Kongsi :
Previous post MBMB SEDIA TONG SAMPAH PINTAR BERKUASA SOLAR DI 7 LOKASI TUMPUAN
Next post KUTIPAN HASIL MELAKA DI LANDASAN POSITIF SUKU PERTAMA 2026