Wujudkan pakej pelancongan berkaitan penyu

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

TERENGGANU 31 Mac – Tourism Melaka akan mendapatkan khidmat Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi membantu Melaka  untuk mewujudkan pakej pelancongan melibatkan penyu di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Padang Kemunting Masjid Tanah.

Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Sa’ari Basiron berkata, UMT dilihat mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam industri pendidikan pelancongan berkaitan penyu.

“Kita bercadang untuk mendapatkan informasi yang lebih lanjut dan berkaitan cadangan pihak UMT tentang bagaimana kita nak mewujudkan satu pakej pelancongan yang melibatkan konservasi penyu di Padang Kemunting.

“Berdasarkan apa yang kita telah bincangkan pada mesyuarat sebelum ini bersama-sama Jabatan Pelancongan Terengganu dan juga pihak UMT, di pihak Tourism Melaka kita amat teruja dengan cadangan yang telah dikemukakan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Mesyuarat Kolaborasi Pelancongan Melaka-Terengganu yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Terengganu, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim dan disertai pelbagai agensi berkaitan pelancongan melibatkan kedua-dua negeri di sini semalam.

Menurut Sa’ari, UMT mempunyai kepakaran dalam menjadikan kawasan penyu belimbing di beberapa lokasi di Terengganu sebagai salah satu produk pendidikan pelancongan yang terkenal di negeri itu.

“Kita merasakan adalah perlu kepakaran dan pengalaman UMT ini membantu kita mewujudkan satu pasaran yang baru yang mengkhususkan kepada pelancongan berkaitan pelajar.

“Bagi tujuan ini, kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Melaka untuk memasukkan modul program ini sebagai satu daripada tarikan sebagai pelancongan pelajar,” katanya.

Katanya, beliau sudah mengemukakan cadangan berkaitan UMT kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis seterusnya merancang waktu bersesuaian menjemput UMT mengunjungi pusat konservasi Penyu Padang Kemunting sebelum mengenal pasti tindakan lanjut.

“Kekurangan kita ialah bagaimana kita nak menambahbaik kawasan tarikan penyu di Padang Kemunting untuk dijadikan salah satu produk yang boleh kita komersialkan.

“Kita mahu pusat konservasi ini, bukan sekadar untuk orang datang, tengok dan melepaskan penyu sahaja, tapi mungkin kita boleh tambah baik, disebabkan kawasan penetasan penyu ini berdekatan dengan chalet jadi kita boleh bagi mereka tinggal di situ dan menimba pengetahuan serta pengalaman mengenainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

858
Kongsi :
Previous post Promosi RM188 bercuti 3D2N di Melaka
Next post Prebet Adam meninggal dunia
Ubah saiz-+=